Nasional

Telaga minyak lama bocor, orang ramai

PENEMUAN satu lubang tanah yang berbuih dipercayai gas asli cecair oleh orang ramai di Bukit Kanada, Miri adalah kebocoran sisa bahan itu dari bekas telaga minyak lama.

Oleh itu orang ramai diminta menjauhkan diri daripada kawasan tersebut kerana ia berbahaya kepada mereka.

Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (SPECA) meminta penduduk di Miri agar tidak memasuki kawasan tapak bekas telaga minyak yang dikatakan mengeluarkan gas dari bawah tanah di sekitar Bukit Kanada di bandar raya itu kerana ia membahayakan keselamatan mereka.

Presidennya, Datuk Rahman Lariwoo hari ini berkata ini kerana ada dilaporkan orang ramai telah menemukan satu lubang tanah berbuih dipercayai mengeluarkan gas asli cecair, satu daripada tapak bekas telaga minyak lama di kawasan terbabit baru-baru ini.

“Sebenarnya penemuan gas terbabit bukanlah menunjukkan sekitar bandar raya Miri masih banyak sumber minyak dan gas tetapi hanyalah kebocoran sisa bahan itu dari bekas telaga minyak lama dan sesuatu yang berbahaya kepada orang awam,” katanya dalam sidang media di  Miri seperti yang dipetik dari BERNAMA.

Katanya kebocoran gas dari bekas telaga minyak lama itu berisiko untuk meletup dan persatuan itu bersedia berbincang dengan pihak berkuasa tempatan bandar raya itu bagi memberikan nasihat tentang bahaya berkenaan kepada penduduk di sana.

Persatuan itu meminta kerajaan dan kementerian berkaitan alam sekitar di negeri ini mengenal pasti pihak bertanggungjawab terhadap telaga terbabit bagi membaik pulih dan menutup kebocoran gas atau minyak dari telaga itu.

Rahman berkata SPECA juga menyarankan supaya pihak bertanggungjawab terbabit bagi mengenal pasti dan memagar kesemua lokasi 624 tapak bekas telaga minyak lama di sekitar kawasan itu.

“SPECA yang mempunyai ramai ahli pakar cari gali minyak juga bersedia membuat kertas kerja cadangan membaik pulih dan menutup kebocoran telaga itu kepada kerajaan dan juga pihak bertanggungjawab terbabit,” katanya.

Beliau berkata ketika ini masih belum diketahui pihak yang bertanggungjawab terhadap bekas-bekas telaga minyak lama di Bukit Kanada tetapi kawasan itu diterokai syarikat minyak Shell sejak 1910 dan telah mengeluarkan hingga lapan juta tong minyak.

Katanya kerja memagar kesemua 624 tapak bekas telaga minyak lama terbabit dianggarkan tidak menelan kos yang tinggi namun kerja membaik pulih dan menutup dengan sempurna telaga terbabit akan melibatkan perbelanjaan lebih tinggi.

“Kos menutup dengan sempurna satu telaga minyak di daratan tidaklah setinggi kos menutup telaga di kawasan laut yang boleh mencecah antara RM120 juta ke RM150 juta bagi satu telaga kerana memerlukan penggunaan banyak kapal,” katanya, sambil menambah kejadian kebocoran ini boleh berulang lagi sekiranya bekas telaga minyak ini tidak ditutup dengan sempurna.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button