Politik

Musa Aman akan bantu kempen GRS

BEKAS Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman akan menjelajah seluruh negeri bagi membantu kempen calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

GRS adalah pakatan politik merangkumi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Musa berkata, beliau akan turun berkempen untuk memastikan kemenangan cemerlang berpihak kepada semua calon GRS dalam pilihan raya berkenaan.
“Sebenarnya, saya tidak mahu datang berkempen. Biarlah saya bersara sekejap. Namun, memikirkan kawan-kawan, sahabat baik sebagai adik saya, maka saya turun dan menolong seberapa yang boleh semoga akan menang dalam pilihan raya ini.
“Saya akan, kalau boleh… sebanyak boleh akan menjelajah untuk memberi ingatan dan kesedaran kepada rakyat, jangan sekali-kali terpedaya, jangan sekali-kali tertipu,” katanya ketika berucap pada program mesra rakyat bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Indai, Kampung Indai, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pesuruhjaya PAS Sabah. Mohd Aminuddin Aling.
Musa turut memuji keprihatinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap masalah rakyat dengan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi yang jelas banyak membantu meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi cabaran penularan COVID-19.
“Saya punya peribahasa, ada ubi ada batas, ada budi boleh dibalas. Muhyiddin seorang Perdana Menteri berbudi. Kita balas budi beliau. Bukan susah, bukan payah kata orang kampung. Undi saja. Macam di Sulaman ini, undi calon nombor tiga (Hajiji). Selamatlah kita,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sulaman perlu memberi peluang kepada Hajiji untuk terus menjadi wakil rakyat di kawasan itu kerana Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah itu seorang yang bekerja keras, berdedikasi dan prihatin keperluan penduduk. – BERNAMA
(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button