Parlimen

Teks penuh Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2021

SELESAI sudah penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senaror Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.

Belanjawan mendapat sokongan daripada ahli-ahli dewan dan diluluskan walaupun 13 ahli dewan menolak.

Berikut adalah teks penuh Penggulungan Menteri Kewangan.
PEMBUKAAN
Datuk Yang di-Pertua,
1. Izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli-ahli Yang
Berhormat yang telah mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang UndangUndang Perbekalan 2021 yang amat penting ini.
2. Tidak kurang daripada 62 ahli Yang Berhormat telah mengambil bahagian untuk
membahaskan isu-isu berkaitan dengan Rang Undang-Undang Perbekalan
2021 Kementerian Kewangan
3. Penghargaan ikhlas juga daripada saya kepada semua yang telah memberi
cadangan dan pandangan, syor dan rujukan, serta idea dan teguran. Hari ini
saya akan menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Yang
Berhormat-Yang Berhormat susulan perbahasan yang telah berlangsung.
4. Pertamanya, izinkan saya menjawab satu soalan hakiki yang sering berbangkit:
“Apakah sebenarnya tujuan Belanjawan 2021 ini?”
5. Pelbagai pihak mempunyai persepsi yang berbeza tentang belanjawan ini.
Realitinya Belanjawan 2021 adalah tidak lain tidak bukan dirangka untuk
kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi negara. It is a COVID-
2
19 Budget – a budget for survival and resilience dengan izin. Terciptanya
belanjawan ini adalah untuk memelihara kesejahteraan rakyat dari segi
kesihatan dan kehidupan, agar rakyat negara kita mampu menghadapi cabarancabaran ekoran wabak COVID-19; bukan hanya ketika menghadapi gelombang
ketiga ini, tetapi juga bersedia bagi pertumbuhan selepas mengatasi COVID-19
nanti, InsyaAllah. Melalui Belanjawan 2021, kita mahu membina ketahanan
atau resilience supaya rakyat dapat melangkah ke masa depan yang lebih
cerah.
Datuk Yang Di-Pertua,
6. Dalam 2 minggu perbahasan RUU Perbekalan 2021 ini, jelas sekali ada
beberapa isu yang mendapat perhatian ahli Dewan Rakyat. Secara amnya, isuisu yang berkisar merentasi 3 kategori utama:
a. Pertama, bantuan yang menambah aliran tunai rakyat dan perniagaan;
b. Kedua, bantuan kewangan langsung; dan
c. Ketiga, mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.
7. Dalam bahasa mudahnya, kerajaan faham rakyat inginkan wang di dalam poket
untuk hidup, untuk ‘survive’; untuk perbelanjaan keluarga dan anak-anak;
membantu dengan hutang dan kos hidup; serta peluang kerja supaya mereka
dapat menjana pendapatan dan kehidupan yang lebih bermaruah. Bukankah ini
yang kita semua mahukan?
8. Sehubungan itu, saya akan menstrukturkan penggulungan seperti berikut:
a. Saya akan bermula dengan menjawab soalan berdasarkan tiga perkara di
atas yang merangkumi isu moratorium, KWSP, bantuan langsung serta isu
pekerjaan dan PKS;
b. Kemudian, saya akan mengulas megenai ekonomi dan unjuran
pertumbuhan;
3
c. InsyaAllah, saya akan mengakhiri penggulungan dengan mengulas
peruntukan berkaitan kesihatan.
9. Berbalik kepada isu survival rakyat, saya tidak mahu berdolak-dalik dan berpusingpusing. Maka, marilah kita berbicara tentang isu moratorium dan KWSP.
MEMUDAHKAN ALIRAN TUNAI RAKYAT: MORATORIUM: PUKAL ATAU
BERSASAR?
Datuk Yang Di-Pertua,
10. Tidak kurang daripada 36 ahli Yang Berhormat telah membangkitkan soalansoalan berkaitan moratorium. Isu-isu utamanya adalah samada moratorium
wajar dibuat secara pukal atau bersasar?
11. YB Pekan, Pontian, Port Dickson, Bagan Datuk, Arau, Kota Melaka, Pasir
Gudang, Pasir Salak, Jerlun, dan Labuan telah mencadangkan agar Kerajaan
melanjutkan moratorium selama 6 bulan secara pukal.
12. Pertamanya, saya menegaskan bahawa moratorium pinjaman bank bukan
hanya untuk sebilangan kecil rakyat. Moratorium ini tersedia untuk semua rakyat
Malaysia yang terkesan – tidak kira samada daripada golongan B40, M40 atau
T20 — semuanya layak mendapat bantuan dalam bentuk penangguhan,
pengurangan atau penjadualan semula pinjaman.
13. Golongan B40 mendapat lanjutan moratorium bank secara automatik. Golongan
peniaga kecil mendapat lanjutan moratorium bank secara automatik. Golongan
M40 pula hanya perlu buat self-declaration atau pengisytiharan sendiri tanpa
perlu dokumen dan sebagainya. Bagi rakyat yang tidak tergolong dalam
segmen-segmen di atas, mereka masih boleh mendapatkan moratorium dengan
memohon kepada pihak bank masing-masing.
14. Prinsip utama di sini adalah tanggungjawab dan keadilan. Adakah adil mereka
yang kaya dan lebih dari mampu untuk membayar hutang diberikan moratorium?
Bukankah lebih baik mereka membayar hutang supaya duit ini masuk ke sistem
perbankan untuk menjana lebih banyak pinjaman — khususnya kepada
4
perniagaan dan industri yang menampung dan mencipta pekerjaan untuk
rakyat? Inilah antara sebabnya mereka yang mampu, wajar membayar balik
pinjaman mereka.
15. Ahli-ahli Yang Berhormat, sehubungan dengan Pakej PRIHATIN, Malaysia
menjadi negara pertama di dunia di mana institusi perbankannya telah
memberikan moratorium automatik kepada semua peminjam bank. Nilai
yang dianggarkan adalah hampir RM100 bilion untuk 6 bulan.
16. Setelah tamatnya moratorium automatik, Bank Negara Malaysia bersama
institusi perbankan telah melanjutkan program moratorium dan bantuan bayaran
balik pinjaman bermula Oktober 2020. Lebih 700,000 permohonan telah
diterima, dan daripada jumlah itu, 98% peminjam telah menerima bantuan
moratorium.
17. Dalam Belanjawan 2021 pula, bantuan ini ditambahbaik lagi sekali buat
golongan B40, PKS Mikro dan M40 yang terkesan seperti yang sebut tadi. Ini
selaras dengan saranan YB Pekan, Bagan Datuk, Pontian, Kota Melaka, Pasir
Gudang, Semporna, Jelebu, Parit, Jempol dan Kuala Kedah agar sokongan
diberikan kepada golongan-golongan ini.
18. Ahli Yang Berhormat, menurut Bank Negara, pada bulan Oktober, sekitar 85%
peminjam bank telah menyambung semula bayaran balik pinjaman mereka.
Namun, Kerajaan sedar masih ada kebimbangan membiayai hutang disebabkan
penularan wabak COVID-19. Oleh itu, bergerak ke hadapan, Kerajaan
memberi komitmen akan terus mengadakan libat urus bersama institusi
perbankan. Bersama-sama, kami akan memastikan ketersediaan untuk
membantu rakyat dan perniagaan sekiranya keadaan bertambah mencabar.
19. Ahli yang berhormat, sehubungan dengan ulasan saya ini, saya berharap isu
pelanjutan moratorium mendapat sokongan semua.
5
MEMUDAHKAN ALIRAN TUNAI RAKYAT: KWSP – PENGELUARAN AKAUN 1
Datuk Yang Di-Pertua,
20. Izinkan saya meneruskan penggulungan dengan isu hangat yang kedua –
KWSP. Isu ini telah diulas dengan mendalam di dalam Dewan ini oleh tidak
kurang daripada 15 ahli Yang Berhormat.
21. Di sini, ingin saya tegaskan satu hakikat: KWSP telah ditubuhkan pada tahun
1951 untuk simpanan persaraan ahli-ahlinya. Justeru, majoriti caruman akan
dilaburkan di dalam instrumen pelaburan jangka panjang, dan bukan dalam
bentuk tunai. Oleh sebab itu, setiap pengeluaran luar jangka yang sebegini
memerlukan perincian dan pertimbangan yang rapi.
22. Segala isu berkaitan Akaun 1 KWSP berbalik kepada mencari satu titik
keseimbangan di antara dua ekstrem untuk rakyat. Dengan izin, ‘this is about
finding the right balance between fulfilling two different needs of the members.’
Yang pertama, pengeluaran untuk kelangsungan hidup hari ini dan kedua,
menjamin kesejahteraan persaraan masa depan.
23. Ramai yang mahukan pengeluaran berjumlah besar secara one-off. Saya telah
mendengar suara ahli-ahli YB, terutamanya YB Pekan dan Bagan Datuk, yang
memperjuangkan agar keperluan hari ini didahulukan. Saya juga dengar suarasuara rakyat di media sosial yang menyatakan kesusahan hidup mereka dan
ingin mengeluarkan wang KWSP mereka. Tetapi, media juga ada melaporkan
bahawa ramai ahli yang gusar dividen dan pertumbuhan dana KWSP mereka
akan terjejas disebabkan oleh pengeluaran besar-besaran oleh ahli-ahli lain.
24. Namun, pada bulan Mac tahun ini, disebabkan oleh keadaan yang luarbiasa,
Kerajaan inilah yang pertama sekali membenarkan pengeluaran dari Akaun 2
KWSP. Melalui program i-Lestari, seramai 4.7 juta rakyat dibenar mengeluarkan
simpanan Akaun 2 sehingga 6 ribu ringgit. Sewaktu itu, mungkin Ahli Yang
Berhormat sudah lupa tetapi Kerajaan dikritik keras kerana mengadakan inisiatif
ini.
6
25. Saya nyatakan perkara ini untuk menegaskan bahawa Kerajaan responsif dan
akan bertindak jika langkah itu wajar demi kebaikan rakyat, tanpa mengabaikan
tanggungjawab lain.
26. Pada 6 November, program i-Sinar diperkenalkan, di mana KWSP telah
membenarkan 600,000 ahli mengeluarkan sehingga 6 ribu ringgit dari Akaun 1.
Ini kemudiannya ditambahbaik apabila KWSP mengumumkan skop kelayakan
diperluas kepada 2 juta ahli yang aktif yang kini boleh mengeluarkan sehingga 9
ribu ringgit, atau 60 ribu ringgit dari Akaun 1, bergantung kepada terma
kelayakan. Namun, Kerajaan terus peka kepada rungutan ahli dan cetusan
pendapat dari ahli-ahli Yang Berhormat sendiri tentang syarat-syarat yang terlalu
ketat, contohnya ahli yang sudah berhenti mencarum beberapa tahun tetapi
masih mempunyai simpanan, namun tidak layak untuk membuat pengeluaran
dari Akaun 1. Ada pula ahli yang tidak hilang pekerjaan tetapi gaji, elaun atau
overtime telah dipotong dengan ketara hingga menjejas kemampuan mereka
menampung perbelanjaan diri dan keluarga – mereka juga merungut kerana
tidak layak memohon. Kerajaan mendengar semua ini.
27. Seperti yang saya sebut, setiap langkah melibatkan pengeluaran KWSP perlu
dilakukan dengan penuh tanggungjawab kerana amanah yang dipikul adalah
untuk semua ahli, baik mereka yang mahu mengeluarkan dan juga bagi ahli yang
tidak mahu. Akhirnya, adalah tanggungjawab Kerajaan untuk mencari titik
keseimbangan di antara keperluan pengeluaran hari ini dan keselamatan
persaraan untuk hari esok.
28. Justeru, setelah saya berbincang lanjut dengan pengurusan KWSP pagi tadi,
sukacita diumumkan bahawa program i-Sinar kini dibuka dan diperluaskan
kepada SEMUA ahli yang terjejas pendapatan mereka. Tidak kira samada
disebabkan hilang pekerjaan, ataupun telah terkurang pendapatan mereka
tahun ini — ahli tersebut layak memohon untuk membuat pengeluaran dari
Akaun 1. Tanpa mengira samada ahli tersebut pekerja sektor formal atau
bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak — selagi terjejas
pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan dari Akaun 1
KWSP. Dari 2 juta ahli yang layak sebelum ini, i-Sinar kini kita buka kepada lebih
7
8 juta ahli. Tambahan pula, setiap ahli yang sebelum ini dibenarkan
mengeluarkan sehingga 9 ribu ringgit, kini boleh mengeluarkan sehingga
10 ribu ringgit. Mereka cuma perlu memohon di dalam talian atau hadir di manamana pejabat KWSP. Tunjukkan sahaja bukti mengenai kehilangan pekerjaan,
notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan
pendapatan jika bekerja sendiri.
PENAMBAHBAIKAN BANTUAN
Datuk Yang Di-Pertua,
29. Mendokong semangat Kerajaan Prihatin Rakyat, kita sentiasa meneliti rapat
perbahasan dalam Dewan ini di mana ahli Yang Berhormat semua merupakan
denyut nadi suara akar umbi. Sehubungan dengan ini, saya ingin berkongsi
beberapa pengumuman dan berita baik, yang sekaligus menjawab beberapa
soalan yang telah berbangkit ketika sesi perbahasan.
30. Pertama adalah berkaitan Bantuan Khas Kewangan Petugas Barisan
Hadapan. Dato’ Yang Di-Pertua, walaupun penularan wabak COVID-19
semakin membimbangkan, petugas barisan hadapan kita tetap kental
memberikan perkhidmatan dengan penuh jitu demi keselamatan dan
kesejahteraan rakyat. Melalui ucapan Belanjawan 2021, Kerajaan telah
mengumumkan bantuan khas one-off kepada petugas barisan hadapan
kesihatan sebanyak RM500 ringgit.
31. Sepanjang perbahasan, saya telah mendengar cadangan daripada ahli-ahli
parlimen seperti YB Pontian, Hulu Rajang, Ipoh Barat, Lembah Pantai dan
Jelutong mengenai perlunya mempertimbangkan bantuan khas untuk barisan
hadapan yang lain yang turut bertugas dengan penuh dedikasi dan komitmen.
Justeru, ingin saya umumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk
memanjangkan bantuan khas secara one-off kepada semua petugas
barisan hadapan lain sebanyak RM300 ringgit.
8
32. Kedua, Kerajaan telah mencadangkan Program eBelia sebanyak RM50 ringgit
secara one-off ke dalam akaun e-wallet bagi mereka yang berumur 18 hingga
20 tahun yang dijangka akan memanfaatkan lebih 1.5 juta belia. YB Menteri
Pengajian Tinggi juga berpandangan agar keperluan pelajar-pelajar institusi
pengajian tinggi diteliti oleh Kementerian Kewangan. Oleh itu, mengambil kira
permintaan daripada Ahli Parlimen seperti YB Pontian, YB Pasir Mas, YB Arau,
dan YB Muar untuk membantu mahasiswa di IPT dan IPTS dalam konteks
norma baharu, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik program eBelia
seperti berikut:
a. Pertama: meningkatkan jumlah eBelia daripada RM50 ringgit kepada
RM100 ringgit; dan
b. Kedua: memanjangkan inisiatif kepada 1.1 juta mahasiswa di IPT dan IPTS
termasuk yang berumur lebih daripada 20 tahun.
33. Ketiga, ramai ahli Yang Berhormat termasuk YB Serian, YB Bukit Mertajam,
dan YB Kota Kinabalu telah menyarankan supaya ditambah peruntukan kepada
Kerajaan Negeri, terutamanya Sabah bagi membantu usaha menangani wabak
COVID-19. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Kewangan
melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 26 Oktober lalu,
telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM50 juta kepada Kerajaan Negeri
Sabah khusus untuk memerangi Pandemik COVID-19. Selain itu, peruntukan
RM44 juta juga telah digunakan oleh Kementerian Kesihatan dalam
membendung gelombang wabak COVID-19 di Sabah. Pada hari ini, sebagai
langkah susulan memerangi COVID-19 di Negeri Sabah, sukacita diumumkan
bahawa Kementerian Kewangan akan menyalurkan dana tambahan
berjumlah RM50 juta lagi menggunakan Kumpulan Wang Covid-19 (KWC)
untuk Negeri Sabah pada bulan Disember 2020.
9
34. Keempat, semasa sesi pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November yang
lepas, saya telah mengumumkan inisiatif pemberian one-off sebanyak RM500
kepada 40 ribu Pesara Polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara
(PJPN). Namun begitu, setelah mengambil kira cadangan oleh Persatuan Bekas
Polis Malaysia, sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan
bersetuju untuk meluaskan lagi kategori penerima pemberian one-off
tersebut kepada kategori Pesara dan Bekas Polis dengan implikasi penerima
tambahan adalah dianggarkan seramai 40 ribu orang lagi. Ini menjadikan jumlah
penerima pemberian one-off ini seramai 80 ribu orang dengan anggaran
implikasi kewangan sebanyak RM40 juta.
35. Ahli Yang Berhormat, Sektor Pertanian merupakan penyumbang asas kepada
pembentukan ekonomi Malaysia dalam menjamin bekalan makanan yang
mencukupi dan selamat kepada rakyat. Sektor pertanian tidak pernah
dipinggirkan oleh Kerajaan malah sentiasa menjadi agenda utama dalam
memastikan pengusaha-pengusaha yang terlibat dapat meningkatkan taraf
hidup dan membantu menambah pendapatan. Sehubungan itu, seperti yang
dicadangkan oleh YB Baling untuk menyediakan dana bantuan khas pesawah
yang dilanda banjir, Kerajaan bercadang untuk menyediakan peruntukan
RM80 juta untuk Tabung Bencana Pertanian. Bantuan khas ini dapat
memanfaatkan petani yang terdiri dari pesawah, nelayan dan pengusaha
akuakultur, pekebun dan penternak yang mengalami kehilangan pengeluaran
hasil tanaman kesan dari bencana alam.
36. Nelayan juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan
pembangunan dan ekonomi industri perikanan selain membantu bekalan
makanan negara sentiasa mencukupi. YAB Perdana Menteri telah
mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan daripada RM250 kepada
RM300 sebulan yang memanfaatkan lebih daripada 40,000 nelayan. Seperti
yang dibangkitkan oleh YB Sik, kenaikan tersebut wajar dipanjangkan kepada
nelayan darat. Dengan itu, Kerajaan juga mencadangkan kenaikan kepada
kadar Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) daripada RM200 kepada
RM250 sebulan bagi 3,400 nelayan darat yang berdaftar.
10
37. Ketujuh, Kerajaan prihatin kepada nasib pekebun kecil getah yang terjejas
daripada naik turun harga komoditi getah dan bencana alam. Seperti yang
dipohon oleh YB Baling, saya ingin mengesahkan bahawa Bantuan Musim
Tengkujuh (BMT) akan diteruskan. Bayaran sebanyak RM300 sebulan akan
dibayar pada bulan Disember 2020, Januari 2021 dan Disember 2021,
kepada pekebun kecil yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan
Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah
Sabah (LIGS). BMT bakal memanfaatkan lebih daripada 300,000 pemilik kebun
getah dan penoreh getah dan Kerajaan komited untuk meneruskannya pada
tahun 2021.
38. Kelapan, Kerajaan maklum bahawa kadar elaun perumahan bagi negeri Sabah
adalah yang tertinggi, dan penjawat awam yang berkhidmat di Sabah mendapat
elaun lebih tinggi daripada penjawat yang berkhidmat di Sarawak atau
Semenanjung. Kali terakhir kadar tersebut disemak adalah pada 30 April
2002. Kementerian Kewangan bersetuju untuk mengkaji semula dan
menyelaras kadar tersebut.
39. Kesembilan, Kerajaan menggalakkan pemilik bangunan atau ruang perniagaan
yang menikmati penangguhan atau moratorium bayaran balik pinjaman selama
6 bulan untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk mengurangkan bebanan
sewa premis perniagaan yang ditanggung oleh golongan PKS yang menyewa.
Ramai YB-YB yang raise this issue dengan izin. Melalui Pakej Rangsangan
PENJANA, pemilik premis perniagaan/pemberi sewa atau landlord yang
memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis
perniagaan yang terdiri daripada PKS, akan diberi potongan cukai khas tetapi in
telah berakhir pada September 2020. Potongan ini tertakluk kepada syarat
pengurangan sewa hendaklah sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa
asal bagi tempoh tersebut. Sehubungan itu, sukacita saya umumkan bahawa
potongan cukai khas bagi pengurangan sewa premis kepada PKS
dilanjutkan 6 bulan lagi sehingga Mac 2021 bagi membantu PKS yang
terkesan akibat lanjutan PKPB.
11
40. Saya berharap pengumuman dan komitmen tambahan ini terus mengukuhkan
Belanjawan 2021 sebagai Belanjawan untuk Rakyat. Yang Berhormat sekalian,
ini semua bukan cadangan saya. Ini semua cadangan-cadangan Yang
Berhormat. Ini semua suara Rakyat yang kami dengar melalui pelbagai saluran.
41. Kami mungkin tidak sempurna tetapi kami mendengar. Dalam 8 bulan ini sahaja,
sudah 4 Pakej Prihatin diumumkan dengan mendengar suara rakyat dan Ahli
Yang Berhormat sekalian. Dan untuk bulan-bulan yang mendatang, kami akan
terus mendengar, kami akan terus memperhalusi bantuan kerajaan mengikut
keadaan COVID dan ekonomi semasa, InsyaAllah.
BANTUAN KEWANGAN LANGSUNG
Datuk Yang Di-Pertua,
42. Walaupun isu moratorium dan KWSP ini mendominasi perbahasan belanjawan,
saya pohon agar kita melihat Belanjawan dan pendekatan bertemakan survival
ini secara keseluruhan. Dalam erti kata lain, kita mesti melihat dua perkara lain
yang telah saya sebut di awal penggulungan saya iaitu bantuan langsung dan
pekerjaan. Tambahan lagi, kedua-dua perkara ini terkandung dalam Belanjawan.
43. Berkenaan perkara kedua iaitu bantuan langsung, antara YB-YB yang bertanya
soalan berkaitan termasuk YB Serian, YB Pekan, YB Semporna, dan YB
Langkawi berkenaan Bantuan Prihatin Rakyat, YB Arau dan YB Sipitang yang
bertanyaan mengenai bantuan untuk golongan M40, YB Permatang Pauh yang
bertanya tentang kaedah pemberian bantuan, YB Lanang mengenai bantuan
kepada golongan ibu tunggal, dan YB Kangar, mengenai pengurangan subsidi.
44. Sebelum saya menjawab soalan-soalan ini secara spesifik, saya ingin terangkan
objektif kerajaan melalui pendekatan ini: Pertamanya, ia adalah bagi
memastikan lebih ramai rakyat yang mendapat bantuan kewangan terus.
Keduanya, ia memastikan rakyat yang sudah mendapat bantuan kewangan,
menerima bantuan yang lebih banyak. Yang ketiga, ia memberi perhatian khusus
kepada golongan rentan. Yang saya maksudkan dengan golongan rentan ini
12
adalah ‘the most vulnerable segments of our society’ dengan izin. Ini merupakan
objektif penting melalui pemberian bantuan langsung.
45. Dalam 8 bulan sahaja, Kerajaan ini telah berjanji dan menunaikan janji
dengan menyalurkan lebih RM21 bilion kepada lebih 10 juta penerima individu
dan isi rumah setakat ini melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan
Prihatin Nasional (BPN). Pada tahun 2020, menerusi BSH dan BPN sahaja,
ada isi rumah yang mendapat bantuan melebihi RM3,400 – ini belum
mengambil kira bantuan-bantuan lain.
PENUTUP
Datuk Yang Di-Pertua,
46. Kebijaksanaan pepatah lama menyatakan: “Tiada buluh, yang tidak berbuku.”
Maka, sama juga, tiada belanjawan yang 100% sempurna. Tetapi yakinlah,
Belanjawan ini adalah natijah terbaik Kerajaan setelah mempertimbangkan lebih
6,600 cadangan yang lahir dari lebih 40 sesi libat urus—merentasi setiap
negeri—dari Utara ke Selatan, Barat ke Timur dengan lebih 100 pihak
berkepentingan dari seluruh negara; mewakili segenap lapisan rakyat dan sektor
ekonomi utama.
47. Lebih 6,600 cadangan telah Kerajaan pertimbangkan, termasuk juga cadangancadangan yang dibuat pihak Pembangkang. Belanjawan ini mengandungi lebih
44 langkah strategik, lebih 186 inisiatif utama untuk kebajikan rakyat dan
membina daya tahan ekonomi– supaya kita dapat mengatasi musibah besar
yang melanda negara hari ini.
48. Apakah munasabah kerana perbezaan beberapa perkara, maka lebih 186
langkah dan bantuan besar demi rakyat dan negara ditolak mentah-mentah?
Apakah ini adil? Apakah ini wajar? Apakah ini memberi harapan kepada rakyat
yang meruntunkan bantuan?
49. Jangan kita masih leka membilang-bilang bintang di langit, tapi buta pada kilauan
intan segenggam yang ada di tangan—permata yang sedia untuk dihadiahkan
kepada rakyat tercinta. Sebagai seorang Muslim, saya bersandarkan kepada
kitab suci Al-Quran. Dalam Surah Al-Qasas ayat 84, Allah SWT telah berfirman
membawa maksud: “Sesiapa yang datang membawa amal baik—maka
baginya—balasan yang lebih baik daripadanya…” Maka, berbuatlah kita
kebaikan.
50. Di dalam Dewan Rakyat ini, walaupun kita datang dari pelbagai latarbelakang
dan kepercayaan namun, saya yakin, kita semua dibesarkan atas nilai yang
sama—iaitu kita percaya pada berbuat kebaikan dan bukannya membawa
kerosakan di muka bumi ini.
Datuk Yang Di-Pertua dan Yang Berhormat Semua,
51. Sebelum saya mengundur diri, ingin saya mengajak ahli-ahli dewan ini untuk
renungkan bersama. Betapa hari ini, kita kini berada di satu persimpangan yang
genting, yang crucial, tersorong seadanya ke pentas sejarah. Di atas pentas ini
kita sedang disaksikan rakyat Malaysia, juga tertampak pada kacamata dunia di
luar sana—pengamat politik dan penganalisa pelaburan yang teliti memerhati:
“apakah keputusan yang akan dibuat ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia pada
detik ini?”
52. Saya katakan di sini, dari hasil tangan Kerajaan adalah Belanjawan Negara 2021
yang dirangka dengan penuh berhati-hati dan rapi. Di tangan ahli-ahli Dewan
pula diberi satu kunci yang boleh menzahirkan segala manfaat yang termaktub
di dalam Belanjawan ini.
53. Sementara itu, di luar sana, adalah pemilik sebenar Belanjawan ini—iaitu jutaan
rakyat kita yang saban hari menunggu, resah menanti bilakah Belanjawan ini
akan diturunkan kepada mereka.
54. Maka, pada petang ini, saya mohon kepada ahli-ahli dewan—JADIKANLAH
perkhabaran dari Parlimen petang ini…satu perkhabaran yang penuh dengan
kebaikan dan berita yang mengembirakan buat semua lapisan rakyat seluruh
negara.
55. Pada petang ini, JADIKANLAH, Dewan ini sebagai saksi, bahawa kita semua
dapat berdamai walaupun seketika, berjabat tangan demi melindungi masa
depan rakyat dan negara.
56. JADIKANLAH Dewan Mulia ini bergema-gema dengan suara kita, sehati senada
memberi sokongan padu menjadikan Belanjawan ini satu kenyataan, satu
kebenaran, satu realiti.
57. JADIKANLAH, Dewan ini tanda perjuangan kita bersama untuk membina semula
ekonomi negara, jangan kita sekali-kali terhenti di tengah jalan, membujur lalu
melintang patah, kita tidak akan berhenti selagi ekonomi belum pulih seperti
sedia kala.
58. Dengan ini saya dengan rendah hati dan penuh tawadduk selaku Menteri
Kewangan Malaysia menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat semua untuk sebulat
suara meluluskan Belanjawan 2021 ini.
59. Sekian, wabbillahitaufiq walhidayah, assalamualaikum WBT dan salam
sejahtera. Terima kasih.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button