Nasional

Agong hargai ahli Parlimen dokong titah sokong Belanjawan 2021

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada ahli Parlimen yang telah mendokong titah nasihat Baginda untuk meluluskan Belanjawan 2021.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah mengalu-alukan sokongan yang telah diberikan.

Sokongan itu menurut Baginda, menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Oktober 2020 lalu untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

Baginda bertitah. Belanjawan 2021 amat penting untuk pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat/

Belanjawan 2021 juga amat penting kepada Kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak Covid-19.

Ahmad Fadil berkata, selaku Ketua Negara, Al-Sultan Abdullah amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini.

Seri Paduka Baginda juga menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak.

Ini kerana ia amat penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama.

‘Marilah kita sama merenung firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Sural AnNisa, ayat 85 yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya. Dan sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang buruk nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan ingatlah Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ketika ini.

Dewan Rakyat sebentar tadi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021.

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

 

 

 

 

 

 

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button