Berita

Teknologi 5G TM jadikan Langkawi bandar pintar

LANGKAWI, 16 Jan — Tiga kes penggunaan dalam kluster Bandar Pintar yang sedang dilaksanakan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam projek demonstrasi 5G (5GDP) di pulau pelancongan ini bakal memastikan wujudnya bandar yang mampan, pintar dan selamat bagi memenuhi keperluan penduduknya.

Pengarah Penyelesaian Baharu dan Inovasi TM ONE, Azrin Aris berkata tiga kes penggunaan itu ialah Penyelesaian Lampu Isyarat Pintar di Jalan Persiaran Putra, Penyelesaian Keselamatan dan Pengawasan Pintar di Pantai Chenang dan Penyelesaian Parkir Pintar sepanjang Jalan Pantai Chenang.

“Ketiga-tiga komponen dalam kluster Bandar Pintar ini memiliki kepentingan tersendiri seperti penyelesaian lampu isyarat pintar yang dipacu data memberi paparan tunggal untuk pemantauan dan membantu menambahbaik aliran trafik dengan mengurangkan masa menunggu di lampu isyarat serta memperbaiki kesesakan trafik dan pengurusan trafik.

“Manakala penyelesaian keselamatan dan pengawasan pintar adalah sistem pemantauan masa nyata terdiri daripada kamera dan peralatan pemantauan yang diletakkan di kawasan strategik untuk pelbagai tujuan, termasuk keselamatan bangunan, kawasan, pencegahan jenayah dan pemantauan trafik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Azrin berkata penyelesaian parkir pintar pula adalah satu sistem parkir yang memberikan pemantauan lot parkir masa nyata dengan menggunakan kamera dan Kepintaran Buatan (AI) yang membolehkan pengguna mencari lot parkir yang kosong menggunakan aplikasi mudah alih.

Menurutnya, semua maklumat yang dikumpul dalam ketiga-tiga kes kegunaan itu disalurkan terus ke Pusat Kawalan Operasi Bersepadu juga dikenali sebagai Pusat Kawalan 5G (5GCC) yang terletak di Pejabat Tanah dan Daerah Langkawi.

“Setiap kes penggunaan dalam kluster bandar pintar ini memiliki fungsi tersendiri, antara yang menarik ialah lampu isyarat pintar menggunakan video berdefinisi tinggi dan Artificial Intelligence (AI) untuk mengenal pasti situasi dan keadaan lalulintas.

“Sistem lampu isyarat pintar ini menggunakan machine learning setiap data dikumpul sebelum algorithm akan belajar mengenai corak trafik seperti jumlah kenderaan, waktu menunggu malahan kita juga dapat melihat apakah yang akan berlaku sekiranya cuaca berubah seperti tingkah laku pemandu. Apa yang menarik hasil data yang dikumpul menerusi 5GDP ini, menerusi corak yang diperoleh kita dapat meramalkan apa yang akan berlaku tujuh hari akan datang,” katanya.

Azrin berkata teknologi bandar pintar yang dibangunkan TM itu dilihat bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat setempat malahan pihak berkuasa tempatan dalam merencanakan setiap projek pembangunan pada masa hadapan.

“Data-data yang diperoleh dari lampu isyarat pintar akan membantu pihak berkuasa tempatan untuk merancang bagaimana jalan raya perlu dibina, jalan raya dibesarkan atau flyover yang perlu di lokasi itu,” katanya.

TM telah melaksanakan sejumlah 11 kes kegunaan bagi 5GDP di Langkawi, jumlah kes kegunaan 5G tertinggi dalam kalangan syarikat telekomunikasi yang menyertainya.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button