Teater

Teater Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah tampil berkonsepkan indie

SATU perubahan besar dalam dunia pementasan teater negara bakal dipentaskan teater Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah dalam naskah indie.

Pementasan alaf baharu itu dibawa oleh Revolution Stage yang dianggap berani kerana rekod teater Puteri Gunung Ledang di Istana Budaya adalah cemerlang, bukan cemerkap.

Bukan sekadar pementasan biasa-biasa sebaliknya hasrat kumpulan Revolution Stage adalah mahu membuka mata orang dalam industri teater.

Revolution Stage merasakan perlu dibawa satu anjakan atau perubahan dalam industri teater negara supaya ia tidak duduk kocoh di tempat yang sama dan seterusnya terus berkembang dan lebih diterima oleh khalayak penggemar teater dan pementasan teater bangsawan.

Revolution Stage bersama rakan sekutunya, LiveInMyPoetry memaklumkan, pementasan teater bangsawan indie, Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah tidak lari daripada plot utamanya iaitu membawa kisah legenda atau mitos tanahair.

Skrip terbaharu karya Khairunazwan Rodzy ini membawa pementasan bangsawan indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah melalui penceritaan yang membawa focus atau tumpuan yang lebih kepada kisah rombongan Sultan Mahmud.

Penulis menyulam kisah dengan kajian yang lebih mendalam terhadap keperibadian dan latar belakang Puteri Gunung Ledang itu sendiri yang mana ia terkait dengan konsep sufisme.
Menurut Khairunazwa yang juga Pengarah bersama teater dengan Rahim Jo, ada sebab mengapa jalan cerita yang bakal dipentaskan adalah sebegitu rupa!

“Saya memilih jalan cerita ini kerana ingin masyarakat lebih mengenali siapakah Puteri Gunung Ledang atau nama Islamnya, Siti Djamilah.

“Kenali beliau dari sudut yang berbeza daripada penceritaan yang sering didengari atau dikhabarkan.

“Saya merasakan ia adalah salah satu sudut penceritaan yang masih ramai belum tahu,” jelas beliau.

Beliau berkata, walaupun ramai yang mengetahui kisah Puteri Gunung Ledang terutamanya pelajar jurusan Kesusasteraan Melayu dalam sistem Pendidikan suatu ketika dahulu, karakter Puteri Gunung Ledang itu sendiri sememangnya sudah terkenal dan dikenali.

“Cuma penceritaan dan skrip yang saya cuba sampaikan akan membawa satu pengalaman dan pengetahuan yang baharu kepada setiap penonton,” katanya.

Apa yang menarik lagi adalah, konsep teater bangsawan indie kali ini diteruskan lagi selepas kejayaan pementasan Teater Bangsawan Indie: Raja Bersiong pada Anugerah Teater Malaysia tahun lepas yang mana produksinya merangkul tiga trofi bagi teater tersebut, tujuh secara kesuluruhan.

Bersandarkan kejayaan itulah, beliau berani mempertaruhkan pementasan bangsawan indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah kepada khalayak.

Khairunazwan yang juga penerima Anugerah Pendukung Seni Negara juga yakin penerimaan baik bagi pementasan Teater Raja Bersiong meneruskan semangat beliau untuk terus mementaskan siri Teater Bangsawan Indie ini.

Teater indie, Puteri Gunung Ledang, Sakti Djamilah

“Bukan sahaja penonton yang memberi komen yang positif, mereka yang sudah lama terlibat dalam dunia teater juga menyambut konsep ini dengan baik.

“Bagi kami, ia boleh membawa konsep teater bangsawan ini lebih dekat dengan masyarkat Malaysia, khususnya penggemar-penggemar teater,” kata Khairunazwan dengan penuh yakin.

Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah menampilkan lebih daripada 15 pelakon muda dan berpengalaman termasuklah Aloeng Silalahi, Kyra Sabri dan Jasni Fizul (sekadar menyebut beberapa nama).
Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah bakal dipentaskan pada 17 Mei sehingga 28 Mei 2023 dan tiket boleh didapati di www.revolutionstage.com. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button