Nasional

Tarif baharu Air Selangor untuk pengguna bukan domestik mulai 1 Ogos

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menaikkan tarif air baharu pada kadar 20 sen bagi setiap meter padu bagi kategori pengguna bukan domestik, rumah ibadat dan kapal berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim berkata purata kenaikan itu masih dianggap rendah dan tidak melibatkan pengguna domestik.

“Bagi kegunaan bukan domestik termasuk komersil dan perindustrian, kenaikan adalah daripada RM2.07 kepada RM2.62 bagi 0 hingga 35 meter padu, dan daripada RM2.86 kepada RM2.28 bagi lebih 35 meter padu.

“Bagi rumah ibadat, pengiraan menggunakan pro-rate (setiap meter padu) 46 sen meningkat kepada 58 sen bagi setiap meter padu. Bagi kategori kapal, setiap meter padu naik daripada RM4.23 kepada RM7,” katanya dalam sidang media di Bangunan Tambahan, Dewan Negeri Selangor hari ini.

Izham berkata, pelarasan tarif air baharu itu akan membantu Air Selangor dari segi perbelanjaan modal yang tinggi bagi memastikan operasi syarikat itu berterusan.

“Banyak perbelanjaan yang kita tanggung, capex yang tinggi antara RM30 juta selama 30 tahun. Kita juga menanggung kos penggantian paip sekitar RM150 juta setahun, yang tidak termasuk kos operasi lain.

“Bil elektrik tahunan sahaja melibatkan RM300 juta. Bahan kimia untuk merawat air berharga sekitar RM80 hingga RM100 juta setahun. Jadi kita ada kos (operasi) tinggi tetapi tarif kita antara yang terendah di rantau ini.

“Pelarasan itu juga akan membantu Air Selangor dengan rancangan kerajaan negeri untuk membina loji rawatan air baharu dan penggantian paip serta peralatan lapuk,” tambahnya.

Izham mengulas keputusan kerajaan mengekalkan tarif bekalan air untuk pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini berikutan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat Malaysia.

Kabinet juga telah bersetuju pada 22 Jun bahawa tarif bagi pengguna bukan domestik dan kategori khas di Semenanjung Malaysia dan Labuan akan dinaikkan sebanyak 25 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Ogos.

 

(Visited 575 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button