Nasionalpilihan

Tapir betina terperangkap di tingkat lima hotel berjaya ditangkap

Seekor tapir betina seberat 250 kilogram mengejutkan pengunjung sebuah hotel di Bandar Hilir hari ini apabila ditemukan berkeliaran hampir lima jam di ruang parkir tingkat lima hotel tersebut pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Sofian Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.04 pagi tadi sebelum
mengerahkan lapan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati seekor tapir betina berada di tingkat lima hotel bersebelahan Dataran Pahlawan.

“Pihak kami kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka untuk mendapatkan bantuan lanjut,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sofian berkata, operasi menangkap dan menyelamat tapir itu berakhir pada pukul 2.30 petang sebelum haiwan itu diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd. Firrdhaus Mahmood berkata, pihaknya sememangnya sudah bersedia untuk menangkap tapir, atau nama saintifiknya Tapirus Indicus, berkenaan sejak dua minggu lalu apabila menerima aduan daripada orang ramai.

“Pihak kami sudah bersedia untuk menangkap haiwan ini selepas mendapat aduan daripada orang ramai dua minggu lalu dan hari ini kita berjaya menangkapnya dengan bantuan pihak BBP Melaka Tengah,” ujarnya.

Katanya, haiwan itu dikategorikan sebagai spesies terancam berkeliaran di kawasan sekitar untuk mencari makan.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan spesies tapir betina ini yang mempunyai habitat sekitar sempadan Melaka dan Negeri Sembilan datang dari kawasan Asahan.

Katanya, berdasarkan pemerhatian awal, berat haiwan ini mungkin sekitar 250 kilogram atau kurang 300 kilogram yang dilindungi sepenuhnya.

“Kes tapir ini agak terpencil dan jarang berlaku dan setakat ini kita percaya ianya hanya seekor sahaja dan ia akan dihantar ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai untuk rawatan lanjut,” katanya. – SM

(Visited 51 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button