Uncategorized

Tanjung Piai gambaran pilihan raya kelima belas

PILIHAN raya kecil diadakan sebaik sahaja UMNO dan Pas serta komponen parti komponen Barisan Nasional (BN) memuktamadkan Muafakat Nasional menjadikan gabungan parti pembangkang paling dominan di tanah air.

Selepas pilihan raya umum yang lalu UMNO bukan sahaja kalah, bahkan kehilangan tampuk pemerintahaan Putrajaya dan tercari-cari jalan untuk bangkit daripada kekalahan yang amat mengejutkan selepas 60 tahun memerintah.

Pas pula mendapat sokongan yang signifikan walaupun tidak menyertai Pakatan Harapan (PH) kerana di dalam gagasan itu terdapat Amanah iaitu parti serpihan Pas, tetapi parti itu tetap mendapat sokongan serta kerusi yang banyak berbanding UMNO. Komponen BN lebih teruk Gerakan terus keluar daripada BN, manakala MCA hanya mempunyai satu kerusi.

Sebenarnya kerjasama Pas dan UMNO mampu membentuk kerajaan di Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan, Melaka dan mengekalkan negeri Pahang serta Perlis. Jika berlaku pilihan raya umum Pas dan UMNO tidak bertembung sesama mereka, kemenangan boleh dicapai dibanyak lagi. Pada masa yang sama mereka perlu berharap Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyertai BN dan juga diikuti oleh Sabah, maka kerajaan PH akan tumbang.

Maka terjadilah apa yang didendang oleh penyokong pembangkang bahawa PH adalah kerajaan sepenggal. Jadi tidak hairanlah apabila para pemimpin PH kini berusaha bertungkus-lumus untuk memastikan pengundi yang terletak di kawasan kampung dan semi bandar di Tanjung Piai ini yakin untuk memberi sokongan kepada kerajaan hari ini sebagaimana pilihan raya lalu.

Pelbagai janji dan inisiatif diambil bagi memikat hati pengundi di Tanjung Piai hingga menampakkan PH amat terdesak. Sedangkan mulut para pemimpin PH berzikir pilihan raya kecil ini tidak memberi makna apa-apa kerana ia tidak akan mengubah kerajaan hari ini.

Jika penduduk kawasan berkenaan mahukan masalah mereka diberi perhatian dan pembangunan di bawa ke kawasan mereka, para pengundi perlu memangkah PH, kelihatan sama seperti ayat-ayat klise yang turut dimainkan oleh BN ketika berkuasa sebelum ini.

Beza BN apabila membangkang mereka mempunyai fakta yang kukuh dan sudah berpengalaman 60 tahun menjadi kerajaan, manakala PH pula tidak mempunyai pengalaman memerintah hinggakan kaedah dan cara mereka berkempen masih lagi terbelenggu dengan cara pembangkang.

Kerajaan hari ini memang berusaha untuk melakukan reformasi di dalam kerajaan sendiri termasuk aspek integriti dan demokrasi. Persoalannya apakah penduduk di Tanjung Piai menghargai dan merasainya. Jika mereka tidak merasai dan menghargainya ia tidak memberi apa-apa makna.

Sama seperti yang dilakukan oleh BN memberi bantuan langsung iaitu BR1M kepada majoriti rakyat Malaysia, tetapi kerana kempen PH berjaya rakyat menganggap ia sebagai rasuah politik semata-mata dan akhirnya mereka menolak kerajaan BN.

Apatah lagi kerajaan hari ini bantuan langsung sedemikian sama ada dikurangkan atau dihapuskan terus, pastinya terkesan di hati para pengundi. Para pemimpin PH yang terlebih lajak dari kayuh juga tidak kurang mula memasuki ranah sensitif seperti mempertikai hak orang Melayu dan mula menghakis kepentingan orang Melayu, pada masa yang sama mereka gagal membela nasib kaum India yang banyak mendapat perhatian kerajaan BN.

Walaupun kaum Cina mendapat perhatian lebih daripada kerajaan hari ini, tetapi ramai juga yang kecewa kerana keadaan ekonomi hari ini yang lembab menyukarkan mereka berniaga yang menjadi sumber pendapatan mereka.

DAP yang selama ini berhaluan kiri orang Cina kini ibarat harimau liar yang terlepas dan perlu dijinakkan. Sikap pemimpinnya sangat jelek tidak kira Cina atau Melayu juga perlu dijinakkan. Jadi tidak hairan jika pengundi Cina akan memilih MCA yang lebih tenang dalam bertindak.

Pada pilihan raya kecil di Cameron Highland tempoh hari sikap jelek para pemimpin dan penyokong DAP menjadi punca kekalahan. Walaupun Cameron Highland adalah kubu kuat DAP tetapi mereka akhirnya tewas kerana sikap mereka sendiri. Rakyat kini mulai jemu dengan janji-janji PH yang tidak pernah ditunaikan. Bahkan rakyat berasa tertekan dan tidak tenteram sejak negara ini diperintah oleh PH yang berpunca daripada pemimpin kerajaan sendiri yang saling bertelagah untuk menunjukkan kuasa masing-masing.

Itu belum masuk bab siapa yang mahu mengganti tempat Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Mahathir yang terkenal dengan sikap sinis sehingga hari ini belum mahu melepaskan jawatan itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pada awal penubuhan gagasan PH beliau bersetuju menyerahkannya kepada Anwar.

Populariti Anwar juga semakin merudum. Ini dapat dilihat apabila terdapat page khas diwujudkan di facebook untuk mempopularkan kembali Anwar. Lebih kelakar page berkenaan terpaksa membayar kepada facebook untuk memastikan ia muncul di timeline pengguna media sosial itu.

Ini menunjukkan dengan jelas jenaka dan silat lidah Anwar semakin hambar serta tidak lagi menarik perhatian orang ramai, khususnya anak muda. Sebagai pemimpin parti dalam kerajaan, tetapi tidak mempunyai apa jawatan Anwar makin tersisih berbanding ketika dia meringkuk di dalam penjara.

Kini yang semakin popular ialah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendapat gelaran Bossku. Pengikutnya di facebook besar dan setiap kali hantarannya dibuat akan mendapat komen ribuan pengikut dan dikongsi ke timeline masing-masing.

Cara hantaran yang dibuat Najib juga semakin hari semakin kreatif dan ini sangat dibimbangi oleh pemimpin DAP khususnya pemimpin veteran mereka Lim Kit Siang yang dapat menghidu ancaman yang dibawa oleh Najib. Pemimpin BN dan UMNO itu menjadi kebal dan tidak mampu disentuh walaupun berdepan dengan pelbagai tuduhan salah guna kuasa di mahkamah majoriti rakyat tidak mempercayainya.

Najib pula bijak menjelaskan segala-galanya melalui facebook miliknya mengapa tindakan diambil dan ia mudah difahami berbanding untuk mengikuti perbicaraan yang berlarutan terlalu lama dan membingungkan.

Begitulah suatu ketika Anwar juga menjadi kebal walaupun telah meringkuk di dalam penjara kerana kesalahan salah guna kuasa dan melakukan hubungan badan yang songsang tetap tidak dipercayai oleh para penyokong hingga ke hari ini.

Mereka menganggap Mahathir sengaja menganiaya Anwar yang dianggap sebagai ancaman kepada kedudukan beliau.

Jadi Cameron Highland adalah kebangkitan kepada BN dan Tanjung Piai adalah perintis jalan ke Putrajaya atau jika PH berjaya menghentikan momentum kemenangan BN dan pada masa sama terus dengan program reformasi yang tidak digemari majoriti rakyat. Sekurang-kurangnya jika mereka kalah pada pilihan raya akan datang para pemimpin PH boleh berbangga mereka telah berusaha melakukan perubahan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button