Nasional

Tanggungjawab wanita semakin mencabar – Raja Puan Muda Perlis

Dewasa ini, tanggungjawab wanita semakin mencabar jika dibandingkan dengan masa lalu. Peranan wanita zaman ini bukan sahaja menggalas tugas menguruskan rumah tangga semata-mata, malah sebagai ejen penjana ekonomi keluarga. Kita sedia maklum, bukan mudah untuk mengatasi tekanan dan tuntutan tanggungjawab di antara keluarga dan kerjaya.

Ramai wanita telah berjaya meningkatkan potensi diri dan mampu mengukuhkan ekonomi keluarga dan negara. Inilah yang dinamakan ’Cabaran Wanita Mendepani Era Dwi-Kerjaya’. Menurut statistik semasa, golongan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi telahpun melepasi sasaran 30 peratus. Mereka ini adalah dalam golongan pembuat dasar di dalam sektor awam dan juga dalam kumpulan pelaksana.

Menyedari hakikat ini, strategi-strategi yang khusus bagi mengoptimumkan potensi wanita hendaklah terus dibentuk. Di antara strategi pelaksanaan yang sudahpun dijalankan adalah seperti Pendidikan dan Latihan untuk menyedarkan pihak pentadbiran mengenai isu wanita, membasmi diskriminasi, memaju serta menyelaras penyelidikan mengenai isu wanita, dan juga melalui Peruntukan Anggaran Belanjawan yang bertumpu kepada projek pembangunan wanita.

Demikian titah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan menyempurnakan majlis penutupan ”Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – ’Women In Search of Excellence’; Pemerkasaan Wanita Dalam Industri Pelancongan” anjuran PUSPANITA Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis pada petang semalam.

Tambah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen, ‘Bagi merealisasikan pemerkasaan wanita sama ada di dalam bidang pelancongan, keusahawan ataupun dalam sektor lain, marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk bangkit dalam memajukan sosio-ekonomi wanita. Sedarlah, bahawa kita adalah golongan istimewa yang menjadi faktor utama kebahagiaan rumah tangga dan juga tonggak pembangunan negara’.

Terdahulu daripada itu, pada sebelah paginya program tersebut dirasmikan pembukaannya oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button