Ekonomi

Usahawan automotif wanita tubuh persatuan hadapi cabaran Covid-19

PANDEMIK Covid-19 memberi kesan yang besar ke atas ekonomi dan pendapatan rakyat. Virus itu juga menjadi ancaman kepada perniagaan apabila terpaksa ditutup untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak maut itu.

Kesukaran yang dihadapi dan memerlukan sokongan moral mendorong kira-kira 60 pemilik bengkel yang dimiliki oleh golongan hawa menubuhkan Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita.

Persatuan itu diwujudkan ketika virus sedang menggila iaitu pada Ogos tahun lalu yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive Robotics & IoT (Marii) Datuk Madani Sahari.

Mastinah bersama-sama sebahagian daripada 60 orang pekerja di salah sebuah daripada empat bengkel yang dimilikinya.

Presidennya, Mastinah Mohd. Ali, 48, berkata, jalinan kerjasama antara mereka sangat diperlukan oleh usahawan wanita ketika ada antara mereka mula patah semangat pada waktu itu.

“Idea untuk menubuhkan persatuan ini timbul ketika PKP. Masalah pada waktu itu bengkel terpaksa ditutup semua tidak tahu nak buat perniagaan apa. Kemudian pendapatan merundum

“Pada waktu itu kami saling berhubung menggunakan alatan komunikasi, saling memberi semangat untuk tidak tertekan dan memikirkan idea bagaimana untuk bangkit semula. Yang penting kita tidak mahu berputus asa,” kata Mastinah kepada Suara Merdeka.

Mastinah merupakan Pengarah Urusan Azam Motor, memiliki empat buah bengkel, 60 orang pekerja dan mempunyai 25 tahun pengalaman dalam bidang automotif.

Rosmawati bersama-sama pegawai Marii yang melakukan lawatan ke premis perniagaannya baru-baru ini.

Seorang ahli jawatankuasa persatuan, Rosmawati Ismail yang merupakan Pengarah Pantas Unggul berkata, melalui persatuan itu, mereka berkongsi idea, masalah dan cara untuk mendapatkan dana dan bagaimana hendak mengatasi masalah kewangan.

“Nak bayar gaji pekerja, kedai alat ganti tutup, tak boleh beroperasi, aliran tunai tak ada,” katanya berkongsi masalah yang dihadapi ketika PKP.

Rosmawati menceburi bidang automotif dan menubuhkan Pantas Unggul selepas dicabar oleh suaminya yang memiliki syarikat Din JJ Autoparts. Pantas Unggul yang terlibat dalam bidang penjualan alat gantian kenderaan kini berusia lebih satu tahun.

Sementara seorang lagi ahli, Puteri Fatin Nurbaya A. Sugianto, 28, menjelaskan wanita juga mempunyai keupayaan yang setanding dengan lelaki dalam perniagaan automotif.

“Kita automatik kena tahu bahagian pengurusan, operasi, menguruskan staf, melayan pelanggan. Kita kena turun padang kena menyaksikan dan ikut serta.

“Lelaki ini dia hanya mahir dalam bahagian operasi sahaja tidak dalam bahagian pengurusan. Itu kelebihan kita,” katanya.

Puteri Fatin Nurbaya merupakan rakan kongsi syarikat Global Automotive Service. Beliau terlibat dalam perniagaan itu selama lapan tahun bagi membantu suaminya menguruskan syarikat berkenaan.


Mastinah, Rosmawati dan Puteri Fatin Nurbaya berbincang dengan Guntor bagi pemasangan panel solar di bengkel yang dimiliki oleh ahli Persatuan Ushawan Pembangunan Automotif Wanita.

Mereka ditemui selepas mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Gading Kencana Datuk Ir. (Dr.) Guntor Tobeng bagi pemasangan panel solar di premis masing-masing sebagai salah satu langkah penjimatan sekaligus menyumbang kearah alam yang lebih lestari.-SM

 

 

 

(Visited 2,085 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button