Kemalangan

Tangan kanak-kanak terlekat dalam paip pvc

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 9 Jun – Percutian sebuah keluarga dari Kuala Lumpur sempena cuti persekolahan di Padang Kemunting
Beach Resort, Pengkalan Balak, Masjid Tanah dekat sini menjadi mimpi ngeri.

Ini berikutan tangan kanan anak perempuan keluarga terbabit berusia 11 tahun tersedut dan terlekat
ke dalam paip jenis pvc tidak sampai satu meter sewaktu sedang mandi di kolam resort berkenaan.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Isharudin Ishak berkata, kejadian berlaku sewaktu kanak-kanak itu bersama keluarga
sedang mandi di kolam renang resort terbabit.

Menurutnya, mangsa telah memasukkan tangan kanannya ke dalam paip penyambung penyedut air di kolam
tersebut.

“Secara tiba-tiba paip itu berfungsi lalu menyedut tangan kanak-kanak itu hingga tersekat dan tidak dapat dikeluarkan tangannya daripada paip tersebut,” ujarnya di sini hari ini.

Isharudin berkata, pemilik resort telah datang membantu memotong paip tersebut sebelum keluarga mangsa
membawa anak mereka ke Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Masjid Tanah.

Ujarnya, sewaktu berada di balai bomba, anggota bertugas telah berjaya mengeluarkan tangan kanak-kanak itu
daripada paip pvc yang telah dipotong pemilik resort.

Ujarnya, sebaik berjaya mengeluarkan paip pvc itu, kanak-kanak itu sekadar mengalami luka melecet.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.15 petang berhubung kejadian tersebut.

habis…./

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button