Nasional

Taman Tema Disneyland di Melaka sekadar omong kosong?

Bayangkan sebuah Taman Tema Disneyland dan Disney City dikatakan bakal dibangunkan di daerah Jasin, Melaka, pada tahun 2027.

Projek seluas lebih 80.9 hektar itu dijangka menjadi taman tema terbesar di Asia Tenggara kerana melibatkan kos berjumlah kira-kira RM2 bilion.

Perkhabaran itu sudah tentunya menggembirakan khususnya buat penduduk di Jasin, Melaka dan amnya rakyat di negara ini nyata teruja dengan pembinaan Taman Tema Disneyland dan Disney City.

Masing-masing sudah terbayang tidak lagi perlu ke Tokyo atau China sebaliknya sekadar menaiki kereta ke Melaka jika ingin merasai kegembiraan di Taman Tema Disneyland.

Inilah yang dikatakan segala-galanya bermula di Melaka!

Pembinaan taman tema berkenaan diumumkan oleh Exco Pelancongan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Muhammad Jailani Khamis pada Rabu berkata, pembangunan taman tema itu adalah yang pertama diwujudkan di Asia Tenggara selepas China, Korea, Eropah dan Jepun.

Muhammad Jailani Khamis

Memetik portal kerajaan negeri Melaka, Muhammad Jailani menambah, pembangunan itu akan membantu untuk mencapai sasaran 20 juta pelancong ke Melaka dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun sebuah portal TRP melaporkan pegawai Disney mengesahkan hari ini bahawa tidak ada cadangan untuk membina sebuah Disneyland di Melaka.

Wartawan CNN bagi Asia Tenggara Heather Chen mengesahkan kenyataan tersebut menerusi pegawai Disney yang menolak mengenai laporan tersebut.

Dalam satu tweet, Chen melaporkan pegawai Disney berkata: “Itu tidak benar! Itu adalah berita palsu atau spekulasi.”

Menerusi kenyataan portal TRP ini bermakna Disney tidak bercadang untuk membuka sebuah lagi Taman Tema Disneyland yang dikatakan akan dibina di Jasin, Melaka.

Memetik laporan Malaysia Gazette (MG), Exco Kanan Pelaburan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengesahkan projek taman tema Disneyland yang diumumkan Muhammad Jailani tidak pernah dibincangkan dengan beliau.

Menurut Ab Rauf, beliau juga tidak mendapat sebarang maklumat mengenai perkara itu daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Jelasnya, sebagai Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, beliau tidak mempunyai butiran projek bernilai RM2 bilion itu seperti dilaporkan media.

“Ya saya tak tahu, di luar pengetahuan saya, saya belum dapat maklumat lagi (dan) saya tak tahu apa dia (Jailani) buat.

“(Jailani) tak ada berbincang dengan saya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini hari ini.

Sementara itu Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, Sulaiman perlu bertindak memecat Muhammad Jailani kerana telah menjejaskan telah menjejaskan nama baik Melaka, selain menjadi bahan jenaka di seluruh dunia.

“Beliau (Muhammad Jailani) perlu dipecat berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Disney secara rasmi. Mereka tidak membina satu taman tema di Melaka.

“Hal ini menyebabkan Melaka menjadi bahan ketawa kepada seluruh dunia dan ini amat memalukan. Ketua Menteri sepatutnya memecatnya serta merta demi menjaga imej kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – SM

(Visited 364 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button