Takziah Tian Chua
INSIDEN Naib Presiden PKR Tian Chua dikasari oleh penyokong PKR mengundang simpati pihak lawan dan kawan.
Ahli Parlimen Bachok dari Pas, Nik Mohamad Abduh Niz Azih menyampaikan salam takziah kepada Tian Chua yang dilempang dan dibaling botol oleh penyokong PRK di hadapan ibu pejabat parti itu hari ini.
“Takziah dan simpati saya buat saudara Tian Chua di atas kejadian kekasaran fizikal ke atas beliau sekejap tadi. Semoga sihat afiat dan sabar harungi dugaan.
“Walau berbeza pandangan, saya sentiasa kagumi kegigihan beliau berjuang sejak dulu, sebaik saya mengenalinya dari dekat ketika beliau bersama rakan-rakan reformasi berkunjung ke rumah al marhum ayahanda lama dulu,” kata Nik Mohamad Abduh.
Beliau turut menasihati agar menjauhi politik ganas dan kasar. Menurutnya, kata-kata kasar dan nista mesti dielakkan, apatah kekasaran fizikal.
Jelas beliau, menjadi tanggung jawab bersama semua parti politik dan parti pemerintah untuk menerapkan kefahaman dan budaya bersih dan sejahtera dalam politik di kalangan rakyat.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil kesal terhadap insiden yang menimpa Tian Chua. Beliau berharap Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan kekerasan tersebut.
“Saya kesal dan kecam tindakan kasar beberapa individu terhadap saudara Tian Chua. Saya pohon pihak berkuasa bertindak segera terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang.
“Pada masa yang sama, saya pohon Lembaga Disiplin segera siasat – jika mereka anggota parti, maka tindakan tegas perlu diambil,” kata Fahmi.
Tian Chua ditampar, dibaling botol air dan kon selepas keluar dari Ibu Pejabat PKR, di sini, jam 2.15 petang tadi.
Tian Chua yang diiringi beberapa anggota polis dimaki hamun beberapa penyokong PKR dengan melabelkan Naib Presiden PKR itu sebagai pengkhianat.
Malah, Tian Chua turut dilihat terjatuh akibat dikepung sebelum memasuki keretanya untuk beredar dari kawasan berkenaan.-SM