Ekonomi

Takaful Malaysia catat PBZT melebihi setengah bilion untuk TK2023

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) melaporkan keputusan kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 melalui pencapaian baharu dengan merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (“PBZT”) kepada RM507.6 juta, meningkat sebanyak 12% daripada RM453.1 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Keuntungan Takaful Malaysia selepas zakat dan cukai meningkat sebanyak 22% pada 2023 kepada RM347.1 juta
berbanding RM283.4 juta pada 2022. Pendapatan Kumpulan pada tahun kewangan dalam tinjauan meningkat sebanyak 14% kepada RM2.94 bilion daripada RM2.57 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, mereka telah mencapai
prestasi yang membanggakan pada 2023 dan mengekalkan kedudukan syarikat melalui perniagaan teras
kami dalam bancatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am, sekaligus mengukuhkan
kepimpinan kami dalam industri insurans dan takaful.

“Faktor utama peningkatan dalam pendapatan Kumpulan pada tahun dalam tinjauan adalah pertumbuhan dalam perniagaan takaful keluarga dan am.

“Kami mencatatkan satu pencapaian baharu dengan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat tertinggi bagi tahun dalam tinjauan, disumbangkan oleh perlindungan takaful yang lebih tinggi dalam kedua-dua perniagaan takaful keluarga dan am, dan pulangan pelaburan yang lebih tinggi pada tahun dalam tinjauan,” katanya dalam kenyataan.

“Dana takaful keluarga kami merekodkan pendapatan takaful kepada RM1.55 bilion untuk tahun kewangan
dalam tinjauan yang meningkat sebanyak 3% berbanding RM1.50 bilion pada tahun sebelumnya. Sebab
utamanya adalah pendapatan takaful yang lebih tinggi diperoleh daripada perkhidmatan takaful yang
disediakan.

“Perniagaan takaful am kami mencatatkan pertumbuhan kukuh dan dana takaful am kami
meningkat sebanyak 26% dalam pendapatan takaful untuk merekodkan RM1.28 bilion pada tahun dalam
tinjauan berbanding RM1.02 bilion pada tahun sebelumnya. Faktor utama pendapatan takaful yang lebih
tinggi bagi dana takaful am kami adalah perniagaan yang lebih tinggi daripada kelas kebakaran dan
motor,” kata Nor Azman Zainal.

Keuntungan bersih Kumpulan yang dijana sepanjang tahun kewangan sebanyak RM347.1 juta menjadi penyebab utama ekuiti pemegang saham Takaful Malaysia meningkat sebanyak 19% kepada RM1.71 bilion pada 31 Disember 2023. Kumpulan mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 14.00 sen sesaham biasa pada 29 Disember 2023 berjumlah RM117.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, yang telah dibayar pada 2 Februari 2024.

“Kami sentiasa bersedia untuk mengekalkan pertumbuhan perniagaan kami. Kami optimis untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam industri insurans dan takaful dan meneruskan perjalanan berprestasi tinggi kami supaya pertumbuhan jualan kasar dan pendapatan bersih yang mampan dapat dicapai.

“Asas kewangan dan daya tahan operasi yang kukuh menjadi pemangkin kepada kedudukan kami dalam pasaran, sekaligus membolehkan kami meneruskan prestasi perniagaan yang baik bagi mendokong strategi pertumbuhan kami. Sebagai peneraju segmen perniagaan berkaitan kredit dan takaful am, kami membangunkan perniagaan penasihat takaful keluarga dan menumpukan pada perkembangan pasaran runcit melalui platform digital kami, Kaotim, bagi menyediakan rakyat Malaysia akses kepada penyelesaian perlindungan yang komprehensif dan mampu milik,” jelasnya

Katanya, tahun 2024 merupakan ulang tahun ke-40 mereka sebagai pengendali takaful tertua di Malaysia.

Takaful Malaysia telah melangkah jauh sepanjang empat dekad ini, dan kami berbangga kerana berpeluang  untuk memberikan perkhidmatan kepada pihak yang berkepentingan dan melakar pencapaian penting dalam industri insurans dan takaful.

“Untuk terus melangkah ke hadapan, hala tuju strategik kami adalah dengan mempelbagaikan portfolio perniagaan dan memastikan perniagaan mampan pada masa hadapan supaya perniagaan teras kami yang sedia ada dapat diperkukuhkan demi memberikan manfaat kepada pihak berkepentingan kami,” rumus Nor Azman Zainal. – SM

(Visited 35 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button