NasionalPolitik

Tak sengaja, minta maaf?

ALASAN Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) bahawa kesilapan mengibarkan bendera bintang berbucu lima sebagai tidak sengaja menunjukkan kedangkalan mereka.

Meminta maaf atau tidak bukan isunya. Yang menjadi persoalan dan membingungkan adalah mengapa bendera seperti itu dimiliki mereka.

Bendera merupakan pengenalan rasmi bagi sesebuah negara. Memperkenalkan Malaysia dan mengubah identitinya dengan simbol tertentu adalah tidak bertamadun dan perbuatan khianat!

Dalam hal ini, bukan sahaja pihak pimpinan persatuan sukan itu wajar melepaskan jawatan, malah siasatan menyeluruh juga perlu dilakukan dengan segera ke atas penganjur.

Itupun jika benar mereka mahu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap ‘kesilapan’ yang amat memalukan negara tersebut.

Sejak semalam, tular dalam laman sosial isu bendera Malaysia yang ditayangkan di skrin ketika lagu Negaraku dikumandangkan.

Ini kerana bendera digunakan dalam majlis perasmian Piala Maba Milo Lum Mun Chak Ke-28 itu memperlihatkan hanya terdapat lima bucu pada bintang bukan 14 bucu seperti sepatutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata telah menerima laporan mengenai perkara itu daripada Maba.

“Polis sedang menyiasat perkara ini,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata, kejadian itu menunjukkan sesetengah rakyat tidak menghargai identiti negara dan makna di sebalik Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, katanya, kes tersebut mungkin berpunca daripada kejahilan berbanding perkauman dan komunisme.

“Kejahilan ini kerana kita tidak peduli atau benar-benar sayangkan negara ini. Kita tidak menghargai kemakmuran yang kita capai berdekad lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim pula tetap mahu tindakan tegas diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab.

“Saya menegaskan bahawa satu tindakan paling tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab kerana hal berkaitan Jalur Gemilang tidak boleh dipandang ringan.

“Jalur Gemilang maruah Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran dalam akaun Facebook beliau.

Jika dalam soal menjaga maruah negara dengan mengibarkan bendera sahaja sudah gagal, bagaimana mereka mahu memastikan sukan bola keranjang dapat berkembang dengan baik.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button