Tak puas hati MCA bertanding, 9 PDM BN Bemban ditutup
GARA-gara tidak berpuas hati kerana Barisan Nasional meletakkan calon MCA di Bemban, sebanyak sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban telah ditutup.
Penutupan itu tidak sampai 24 jam selepas pengumuman calon Barisan Nasional (BN).
Menurut Utusan Malaysia, PDM yang ditutup mulai Jumaat ialah Pondok Kempas, Kesang Tua, Seri Bemban, Tehel, Taman Maju, Air Panas, Air Kangkong, Air Barok dan Kesang Jaya.
Kerja-kerja mengemas kerusi dan meja termasuk menurunkan semua bendera BN dilakukan oleh petugas Umno cawangan di situ.
Menurut akhbar itu, penutupan sembilan PDM berpunca daripada perasaan kecewa apabila kerusi itu ditandingi oleh MCA.
DUN Bemban bakal ditandingi Koh Chin Han yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada calon DAP, Wong Port Pin.
Pengumuman mengenai 28 calon BN telah dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya BN, Mohamad Hasan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pagi tadi.