Tak peduli, ramai langgar peraturan larangan merokok di kawasan restoran
WALAUPUN sudah diberikan peringatan berulang kali, malah pelaksanaan penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan sejak 1 Jan 2019, namun masih ramai dalam kalangan perokok, ingkar dengan larangan merokok di kawasan restoran dan premis makanan terbuka.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh 24 jam pertama operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) dilakukan di seluruh negara, mendapati bilangan individu yang merokok masih tinggi, dengan 10 peratus berbuat demikian di premis yang dilawati.
Berikutan itu sebanyak 605 notis dengan nilai kompaun RM144,450 dikeluarkan, membuktikan masih ramai masyarakat Malaysia, yang tidak peka dengan larangan merokok yang berkuatkuasa semalam.
“Ini termasuk 34 notis kesalahan diberikan kepada golongan orang belum dewasa selepas 6,119 premis makanan diperiksa sepanjang operasi dilakukan, bermula 8 pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, dalam operasi melibatkan 2,087 pegawai penguatkuasa itu, sebanyak 103 notis dengan nilai kompaun RM25,750 turut dikeluarkan ke atas pemilik premis makanan, termasuk 79 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 24 notis kesalahan, kerana menyediakan kemudahan merokok.
“Bagaimanapun peratusan kesalahan yang dilakukan pemilik premis menurun daripada 47 peratus pada hari pertama 2019, kepada 1.7 peratus hari pertama tahun ini, kerana rata-rata dalam kalangan mereka, menjalankan tanggungjawab dalam melaksanakan penguatkuasaan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Norhayati Rusli berharap kompaun yang dikenakan, dapat memberi kesedaran kepada perokok untuk menghentikan tabiat itu.
“Banyak kemudahan disediakan untuk membantu perokok menghentikan tabiat itu, termasuk meningkatkan jumlah klinik yang menyediakan perkhidmatan berhenti merokok mQuit, serta sesi kaunseling, namun masih ramai yang berdegil.
“Rata-rata yang ‘ditangkap’ memberikan jawapan ´tidak tahu´ tentang larangan itu, dan ia jelas menunjukkan sikap tidak ambil endah golongan itu terhadap peraturan yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mereka yang menerima notis kesalahan kerana merokok, boleh dikenakan kompaun RM250 dan di bawah Peraturan 12 (1) (a) dan 12 (1) (b), pemilik premis yang menerima notis kesalahan, juga boleh dikenakan jumlah kompaun yang sama, untuk kesalahan pertama dan kedua, manakala kadar kompaun lebih tinggi untuk kesalahan ketiga dan seterusnya. – BERNAMA