fbpx
BeritaNasional

Penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan harus digantung sementara – Peguam

PEGUAM Haniff Khatri Abdulla berkata penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan perlu ditangguh sementara sehingga keputusan mahkamah dibuat berikutan rayuan oleh Persatuan Kesedaran Merokok yang masih berlangsung.

Haniff Khatri berkata, sebutan dan pengurusan kes berkenaan akan berlangsung pada 17 Januari ini di Mahkamah Rayuan sebelum semua pihak terbabit mengambil langkah lanjut yang perlu.

“Kami masih menanti keputusan pihak Menteri Kesihatan terhadap permohonan kami ini, ” katanya mengulas pengumuman Menteri Perumahan Zuraida Kamaruddin memperuntukkan RM1 juta bagi membina kawasan merokok di tempat awam.

Menurut laporan media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Bagi pemilik restoran atau kedai makan (persendirian), kita mempunyai garis panduan yang akan dikeluarkan KPKT berhubung perkara terbabit di mana mereka perlu memohon kebenaran daripada PBT untuk membina kawasan khas merokok dalam skala kecil termasuk premis yang berada dalam lot kedai.


Kawasan khas merokok itu perlu mempunyai bumbung, tempat duduk dan tempat membuang puntung rokok dan mereka boleh membinanya secara berkongsi (jika dalam satu lot bangunan itu terdapat lebih daripada sebuah restoran) dengan kos ditanggung mereka sendiri.

Namun bagi kawasan awam pula, PBT diminta membuat permohonan peruntukan kepada KPKT untuk menyediakan kawasan khas merokok dengan KPKT memperuntukkan setiap sebuah pembinaan kawasan merokok itu kira-kira RM5,000, ” menerinya Zuraida Kamaruddin dipetik sebagai berkata dalam sidang media di Putrajaya.

Sementara itu, KPKT juga membenarkan pemilik restoran atau kedai makan, sama ada milik persendirian atau PBT, menyediakan kawasan khas merokok di luar premis, pada jarak sekurang-kurangnya tiga meter dari meja makan terdekat.”

Haniff Khatri berkata, sejak 20 Disember tahun lalu Persatuan Kesedaran Merokok berusaha untuk berkomunikasi secara baik dengan menteri kesihatan namun tidak dilayan.

“Namun, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Zuraida Kamaruddin yang telah tergerak untuk membuat kenyataan berkaitan dan mengumumkan usaha -usaha murni ke arah mengimbangi hak perokok tanpa menjejaskan hak bukan perokok.

“Justeru Persatuan Kesedaran Perokok akan berkomunikasi dengan kementerian berkenaan bagi tujuan berkongsi cadangan-cadangan lanjut dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu Haniff Khatri berkata, menteri kesihatan perlu menangguhkan dahulu dasar tersebut sehingga ia dapat diseragamkan dan keputusan Mahkamah Rayuan.

Show More

Related Articles

Back to top button