Tak mudah jaga keharmonian rumah tangga
PENYANYI wanita bersuara garau, Ayu Damit yang baharu sahaja menunaikan umrah Februari lalu menitip doa di hadapan Kaabah agar Allah SWT menjaga dan memelihara rumah tangganya bersama suami tercinta, Syed Fauzi Syed Baharuddin atau lebih mesra dengan panggilan Poji, berkekalan hingga ke jannah.
Ayu yang mempunyai tiga orang anak mengakui bukan mudah untuk menjaga keharmonian rumah tangga lebih-lebih lagi sudah terbina lebih sedekad lamanya.
“Apa yang Ayu doa adalah untuk kesihatan, kebahagiaan, rezeki yang melimpah ruah, semoga Allah meredakan apa sahaja apa yang Ayu buat bersama dengan keluarga Ayu” katanya ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Penutup Progam Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan, semalam.
Ayu juga menzahirkan rasa syukur dan bangga dapat menyertai program amal berkenaan kerana dapat bersama-sama dengan pihak penganjur dan badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi Kerajaan dalam mendekati insan kurang bernasib baik.
“Gembira, bangga dan dalam masa yang sama Ayu boleh merasai apa yang mereka rasa. Mungkin orang sudah lama tidak menyantuni mereka. Jadi kali ini, sebelum Ramadan ada orang fikir tentang mereka.
“Harapan Ayu, semoga program ini terus sukses dan untuk diri sendiri pula, semoga Ayu terus berjaya bersama keluarga dan apa sahaja yang kami lakukan,” jelasnya.
Ayu juga sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada peminatnya dan semua pihak kerana telah banyak memberi sokongan dan dorangan kepadanya untuk lebih maju.
“Alhamduilllah selepas Gegar Vaganza, semakin banyak ruang dan peluang Ayu dalam industri. Ayu semakin diberi highlight daripada semua pihak, jadi bergerak secara lancar dengan apa yang Ayu nak sebenarnya” kata Ayu yang merupakan seorang yang giat menjalankan bisnes Cili Padi Jeruk.
Sebagai seorang usahawan tani, Ayu juga berkata, ia sudah pasti mengalami pasang surut dalam perniagaan.
“Untuk bulan Ramadan yang bakal tiba Ayu tidak menyasarkan jualan produk Cili Padi Jeruk kerana pengeluaran bagi sayur-sayuran ini sifatnya bermusim dan ada turun naiknya” katanya ketika ditanya mengenai sasaran jualan untuk bulan Ramadan yang bakal tiba.
Jelasnya lagi, pada 26 dan 27 Mac ini Ayu akan berada di Stesen LRT Putra Height untuk menjayakan Majlis Pelancaran Cili Padi Jeruk.
“Jadi kita berada di situ, kita akan uar-uarkan kepada semua, kami adalah penanam cili dan kami adalah petani dan sudah 10 tahun kami bergerak sebagai usahawan tani.
“Sasaran tu memang kita nak achieve apa yang kita nak, kita cuma doa yang terbaik, usaha dan tawakkal sahaja” katanya. – SM