Tak ada sebab Asyraf Wajdi mohon maaf kepada PPBM
TIDAK ada sebab untuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memohon maaf terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berikutan mendakwa parti itu membeli ahli UMNO.
Ketua Penerangan UMNO ShahriL Sufian Hamdan menegaskan, isu PPBM mengambil ahli UMNO sudah jelas.
Shahrir Sufian berkata, sekiranya Asyraf Wajdi disaman berikutan dakwaan tersebut, beliau percaya Ketua Pemuda UMNO itu boleh mempertahankan tuduhnya itu di mahkamah.
“Kalau lihat di Parlimen, berapa peratus ahli Parlimen PPBM yang datang dari UMNO? Kalau lihat di peringkat bahagian, berapa ramai pimpinan bahagian yang datang dari UMNO?
“Soal bayaran, habuan dan sebagainya – jika Dr Asyraf disaman di mahkamah, saya yakin beliau sedia mengemukakan buktinya,” kata ShahriL Sufian.
Menurut Shahril Sufian, ada pihak yang akan sentiasa mahu melihat UMNO lemah dan dilemahkan.
UMNO tidak terkejut dengan senario itu dan sebaliknya akan terus mencari jalan memastikan parti tersebut menjadi pilihan utama orang Melayu dan rakyat Malaysia.
“Jika kita tak kuatkan parti, jika kita asyik bergaduh sesama sendiri, jika kita tak siapkan tawaran menarik untuk rakyat – maka kita tak boleh salahkan orang lain jika mereka memintas kita. Kerana itulah lumrah politik.” kata Shahrir Sufian.
Beliau mengulas gesaan Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan menggesa Asyraf Wajdi tampil memohon maaf dan menarik tuduhan kenyataan Bersatu ‘mencuri’ serta ‘membeli’ ahli-ahli UMNO.
Wan Saiful berkata, tindakan Ketua Pemuda UMNO menyebut ‘setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000’ itu tidak dapat diterima sama sekali.
Wan Saiful berkata, beliau akan berbincang dengan pihak parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang dalam hal berkenaan.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO itu mengeluarkan satu kenyataan mengenai Bersatu mesti hentikan segera ‘curi’ dan ‘beli’ ahli-ahli UMNO jika mahu selamatkan kerjasama.
Asyraf Wajdi berkata, fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO jika diteruskan sebegini akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat Bersatu ditubuhkan serta gabungan besar parti Perikatan Nasional (PN) diwujudkan hanyalah untuk melemahkan dan menggantikan UMNO.