Uncategorized

Tahun 2024 saksi pertumbuhan ekonomi menggalakkan, inflasi sederhana

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.1% pada tahun 2024 dengan inflasi sederhana sebanyak 1.8%.

Ringgit mengakhiri tahun 2024 sebanyak 2.7% lebih tinggi berbanding dengan dolar AS dan 7.5% lebih
tinggi berbanding dengan mata wang rakan dagangan utama Malaysia.

Demikian menurut Bank Negara Malaysia(BNM) yang menerbitkan  naskhah utamanya: Laporan
Tahunan 2024 (LT 2024), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 (TEM 2024) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2024 (TKK ST2 2024).

Laporan-laporan ini memperincikan aktiviti BNM pada tahun lepas dalam mendukung kestabilan monetari dan kewangan, serta penilaian bagi tahun 2025.

Rencana “Membendung Inflasi, Mengurangkan Kos: Perspektif Dasar” dan “Pendorong Ringgit” boleh dibaca melalui LT 2024 untuk menyampaikanpandangan BNM berhubung dengan pelbagai penunjuk ekonomi ini.

BNM juga terus memastikan rangka kerja kawal selia yang kukuh dalam usaha menggalakkan kestabilan kewangan dan melindungi pengguna kewangan.

Pada tahun 2024, sebanyak 11 dasar penting dari segi kehematan dan amalan pasaran diterbitkan untuk menyokong pembaharuan rangka kerja modal, memperkukuh piawaian pengurusan risiko serta memastikan hasil yang adil untuk pengguna kewangan.

Institusi kewangan memiliki permodalan yang kukuh dengan penampan yang teguh untuk menyokong aktiviti kewangan bagi ekonomi.

Institusi kewangan juga terus mempertingkatkan usaha dalam menangani risiko berkaitan iklim serta menyokong perniagaan untuk beralih kepada operasi yang lebih lestari.

Ujian tekanan terkini juga mengesahkan keupayaan industri untuk menghadapi kejutan serius dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Baca lebih lanjut mengenai dasar BNM yang memberikan kesan terhadap institusi kewangan
dalam TKK ST2 2024 menerusi rencana yang berikut:

• Pelaksanaan Pendekatan Standard untuk Risiko Kredit: Semakan Utama di bawah Basel III dan Kesan terhadap Bank-bank
• Mengendalikan Peralihan Sektor Kewangan kepada Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan

Pada tahun 2024, BNM telah menjalankan kajian separuh penggal Pelan Sektor Kewangan 2022–2026. Berlatarkan kemajuan teknologi, peralihan iklim dan anjakan demografi, BNM telah menyesuaikan strategi Pelan Tindakan dan keutamaan pembangunannya untuk kekal seiring dengan trend dan cabaran yang akan datang.

Landskap kewangan digital terus berkembang pesat. Perniagaan dan pengguna semakin terbuka untuk menerima pembayaran digital.

Transaksi  pmbayaran meningkat sebanyak 19% kepada 409 transaksi per kapita, yang bermaksud sekurang-kurangnya satu e-pembayaran bagi setiap rakyat Malaysia setiap hari.

Walau bagaimanapun, wang tunai tetap menjadi komponen penting dalam ekosistem pembayaran.

BNM akan terus mengkaji inisiatif jangka panjang yang mampan untuk memastikan rakyat Malaysia terus
mempunyai akses kepada wang tunai secara mudah dengan kos yang berpatutan.

Malaysia terus menjadi peneraju global dalam sektor kewangan Islam.

Usaha utama yang dibuat termasuk mempertingkatkan jalinan rentas sempadan, menggalakkan pengiktirafan bersama Syariah, dan berkongsi pandangan dalam forum antarabangsa.

Rencana “Memperdalam Pasaran Kewangan dan Pengurusan Mudah Tunai Islam”, yang boleh didapati melalui LT 2024 mengetengahkan usaha untuk membangunkan lagi pasaran kewangan Islam.

Rencana “Panduan Aplikasi Hajah dan Darurah dalam Kewangan Islam” yang terdapat dalam TKK ST2 2024 menelusuri aplikasi rangka kerja tadbir urus utama bagi memperkukuh integriti dan daya tahan amalan kewangan Islam.

Demi meneruskan usaha membanteras penipuan kewangan, BNM, PayNet dan institusi kewangan melancarkan National Fraud Portal (NFP) pada bulan September 2024.

NFP ialah platform bersepadu yang direka khusus untuk meningkatkan keupayaan operasi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC).

Hal ini telah mengurangkan masa yang diambil oleh institusi kewangan untuk mengenal pasti transaksi penipuan  yang disyaki sebanyak 75% dan meningkatkan pengenalpastian akaun keldai
sebanyak 65%.

Selain itu, BNM mengeluarkan dasar berhubung dengan Layanan Adil kepada Mangsa Transaksi e-Perbankan Tanpa Kebenaran pada tahun 2024, yang meletakkan tanggungjawab bersama antara pengguna dengan institusi kewangan untuk memastikan penyiasatan dan pampasan yang adil dan saksama bagi insiden penipuan.

Ketahui lebih lanjut berkenaan pendekatan pelbagai cabang oleh BNM untuk membanteras penipuan dalam
talian melalui Rencana “Membina Pertahanan yang Bersepadu bagi Memerangi Risiko Penipuan” dalam LT 2024. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button