BeritaPolitikPRK

Tahniah Muafakat Nasional!

Barisan Nasional (BN) memang wajar menang pada pilihan raya kecil Tanjung Piai kerana mereka memang kuat dan bukan kerana lemahnya Pakatan Harapan (PH).

Strategi yang mereka gunakan meletakkan bekas penyandang Wee Jeck Seng dari MCA sebuah parti komponen yang hanya nyawa-nyawa ikan iaitu satu kerusi, pada awalnya agak meresahkan.

Bagaimanapun apabila matlamatnya diperjelas iaitu untuk membuktikan Muafakat Nasional yang dimeterai dengan Pas bukan bersifat rasis sebagaimana didakwa oleh para pemimpin PH, para pengundi dapat menerimanya dengan baik dan menterjemahkannya di dalam peti undi.

Jeck Seng tiada masalah untuk berkhidmat kepada rakyat kerana dia adalah penyandang sebelum tewas tipis pada pilihan raya umum lalu.

Apa yang perlu dibuat adalah untuk merapatkan dan memantafkan lagi Muafakat Nasional yang telah terbentuk supaya ia akan menjadi kerajaan contoh dan tercatat di dalam sejarah sebagai kerajaan terbaik selepas BN.

Selama 22 tahun BN telah membentuk negara dan bangsa Malaysia. Selepas ini giliran Muafakat Nasional pula mengambil tanggungjawab tersebut dan ramai yakin gabungan pemimpin BN dan Pas adalah yang terbaik serta adil kepada seluruh rakyat.

Asas yang penting dan telah sebati ialah hormat menghormati dan bukan seperti PH para pemimpinnya bukan sahaja tidak tahu menghormati hak orang lain, bahkan bercakaran sesama sendiri.

Saya sedikit tertarik kenyataan dari pemimpin kecil dari parti kecil Amanah kerana kenyataan lebih relevan berbanding kenyataan pemimpin muda Syed Saddiq Abdul Rahman dari Bersatu.

Pemimpin Angkatan Wanita Amanah, Aiman Athirah Al Jundi dalam kenyataannya berkata, kekalahan di Tanjung Piai adalah sebagai tanda protes rakyat terhadap PH.





Aiman Athirah Al Jundi.

Ahli Dewan Negara itu berkata, undi protes adalah daripada penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi PH sendiri.

“Jika selain itu, maka ia adalah sabotaj. Itupun terjadi akibat kegagalan mengurus kejayaan. Ini juga wajib diberikan perhatian,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Oleh itu, beliau berharap kerajaan menjauhi penyakit sindrom penafian sebaliknya bermuhasabah secara jujur.

“Dalam konteks PRK P.165 Tg Piai ini sememangnya tepat ulasan serta rumusan yang menyebut bahawa AMANAH pada hakikatnya telah memenangi awal PRK ini dalam konteks falsafah, iltizam dan prinsip siasah bernegaranya. Alhamdulillah,” ujarnya.

Aiman Athirah turut berharap pimpinan dan pendukung PH di Tanjung Piai akan dapat terus bekerja memberi khidmat terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Keputusan PRK Tanjung Piai menyaksikan calon PH, Karmaine Sardini hanya mendapat 10,380 undi manakala calon BN, Wee Jeck Seng memungut 25,466 undi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button