JenayahNasionalNegeri

Tahan bot Kelas C bongkar penjualan air tawar, seludup minyak

PENAHANAN sebuah bot kelas C oleh Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) telah membawa kepada pembongkaran kegiatan haram iaitu penjualan air tawar di laut dan seludup minyak ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, ini
berikutan hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan, terdapat beberapa unit tong biru berisi air tawar yang dianggar berjumlah 20,000 liter.

Seorang tekong dan dua awak-awak juga ditahan bersama Bot Kelas C yang melanggar syarat lesen – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

Selain itu katanya, terdapat juga pengubahsuaian apabila ruang tangki minyak telah ditambah pada bahagian belakang bot berkenaan yang dipercayai untuk seludup minyak ke negara jiran.

“Bot nelayan kelas C ini yang bernombor pendaftaran PSF 2331 ditahan pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika,
di barat Kuala Perlis, pada kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Hashim berkata, bot ini dikendalikan oleh tekong dan dua awak-awak yang kesemuanya warga tempatan yang berumur dari 39 hingga 52 tahun.

Beliau berkata, nilai rampasan termasuk sebuah bot, air dan minyak pula dianggarkan berjumlah RM200,800.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu Seksyen 8b kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen.

Katanya, selain itu juga melanggar Peraturan 18 kerana tidak memiliki kelulusan Pengarah Jabatan Laut membawa kargo iaitu air tawar menggunakan vesel menangkap ikan.

Bot kelas C yang ditahan juga melakukan pengubahsuaian tambahan tangki minyak. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

Beliau berkata, bot, hasil tangkapan serta tekong dan awak-awak dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button