Politik

Syukur alhamdullilah – Ahmad Zahid

PENGERUSI Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan syukur dan memuji Allah selepas kemelut politik di Perak berjaya diselesaikan bersama-sama dengan rakan dalam Perikatan Nasional.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ketiga-tiga pemimpin utama termasuk Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah melakukan perbincangan untuk menyelesaikan isu politik yang berlanjutan sejak Jumaat lepas.

“Syukur Alhamdulillah hari ini kami bertemu demi mencari jalan penyelesaian terbaik demi ummah dan rakyat keseluruhan. Mohon doakan titik penyelesaian dapat dicapai.

“Firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (59) An-Nisa’, Ayat 59;” kata Ahmad Zahid.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid memohon maaf bagi pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN berikutan kesilapan yang berlaku dalam isu undi percaya terhadap kedudukan menteri besar Perak.

UMNO, Pas dan Bersatu mencapai kata sepakat untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Barisan Nasional ) Kota Tampan Datuk Shaarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Kemelut politik Perak bermula Jumaat lalu selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari parti Bersatu hilang kepercayaan sebagai menteri besar Perak selepas usul percaya terhadapnya diundi secara belah bahagi di Dewan Undangan Negeri Perak.

Dalam undian yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Faizal, berbanding 48 yang membantah dan 1 undi rosak.

Usul undi percaya terhadapnya dibawa Adun Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim, dari UMNO.

DUN Perak terdiri daripada 24 ADUN UMNO, empat PPBM, dan tiga Pas, dan pembangkang iaitu 16 DAP, lima Amanah, dan tiga PKR. – SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button