BeritaNasional

Syed Saddiq tolak Vellfire, Mercedez-Benz

JIKA pemimpin-pemimpin lain sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri sibuk mahu menukar kenderaan rasmi dengan memilih jenama terkemuka luar negara, lain pula sikap ditunjukkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi  Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengisytiharkan beliau menolak jenama dunia tersebut tetapi tetap memilih kereta buatan tempatan.

“Saya tolak Vellfire.
“Saya tolak Mercedez-Benz.

“Saya pilih Proton 🇲🇾
“Kenderaan rasmi kerajaan✌️,” ciapnya dalam akaun Twitter milik beliau.

Ciapan Syed Saddiq itu merujuk kepada laporan mengenai pembelian kereta Mercedez-Benz oleh kerajaan negeri Kelantan bagi kegunaan rasmi.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa mendakwa kerajaan negeri membeli kereta Mercedes-Benz untuk kegunaan pegawai tingginya sedangkan negeri itu bergelut dengan masalah kewangan.

Pendedahan itu diakui oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah namun katanya, pembelian tersebut adalah atas alasan keselamatan dan dilakukan mengikut keperluan.

Setakat ini jelas beliau, hanya sebuah kereta dibeli untuk kegunaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

“Kerajaan negeri akan membeli beberapa lagi kereta jenis Mercedes-Benz untuk Exco yang tidak mempunyai kereta selain kereta sedia ada sudah digunakan lebih 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan Pusat sebelum ini turut dilaporkan dalam proses melantik sebuah syarikat bagi membekalkan 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord membabitkan pegawai kanan kerajaan.

Bagaimanapun selepas maklumat itu terdedah, Kabinet memutuskan untuk mengekalkan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi kerajaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button