Alam Sekitar

Syarikat Samling nafi salah laku di kawasan konsesi balak Sarawak

Syarikat gergasi balak Samling Group membantah tuduhan melakukan kesalahan dalam menguruskan dua kawasan konsesi pembalakan di Sarawak – Unit Pengurusan (FMU) Hutan Gerenai dan Ravenscourt.

Ini selepas masyarakat tempatan mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) mengenai dakwaan kurangnya ketelusan.

Firma itu juga menolak “tuduhan tidak berasas” NGO Bruno Manser Fund (BMF) mengenai isu tersebut, berkata reputasi banyak pihak telah dipertaruhkan.

“Samling ingin menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa tuduhan yang terkandung dalam hantaran (BMF) itu palsu dan tidak mempunyai sedikit pun kredibiliti atau kebenaran.

“Tuduhan itu bukan saja mencemarkan imej Samling secara tidak adil, tetapi juga telah menimbulkan persoalan serius reputasi baik MTCC dan badan perakuan, SIRIM QAS International Sdn Bhd.

“Selain itu, tuduhan tersebut meremehkan nilai pensijilan pengurusan hutan dan integriti Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC),” kata syarikat itu pada satu kenyataan, lapor Malaysiakini.

Sebelum ini, masyarakat setempat, Orang Asal Penan meminta MTCC untuk menuntut Samling menunjukkan kepada mereka laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) untuk kedua-dua konsesi balak tersebut.

Dua puluh dua kampung telah menulis surat kepada majlis kayu itu mengenai pengurusan (FMU) Hutan Gerenai, yang terletak di Baram.

Sembilan kampung pula menghantar surat mengadu mengenai pengurusan (FMU) Hutan Ravenscourt, yang terletak di Limbang.

Sebagai maklum balas, Samling menekankan bahawa kedua-dua kawasan pengurusan hutan FMU itu disahkan mengikut peraturan MTCC dan standard antarabangsa.

Pun begitu, Samling berkata pihaknya belum menerima “permohonan rasmi” untuk berkongsi laporan EIA dan SIA itu dengan kampung-kampung berkenaan.

“Penemuan SIA disampaikan kepada masyarakat – biasanya oleh perunding yang bertanggungjawab untuk penilaian – baik melalui lawatan ke komuniti khusus atau pada pertemuan yang diadakan bersama kumpulan-kumpulan komuniti.

“Bertentangan dengan apa yang didakwa dalam hantaranBMF, Samling belum menerima permohonan rasmi untuk berkongsi laporan EIA atau laporan SIA.

“Oleh itu, untuk mendakwa bahawa Samling telah menolak untuk menyiarkan laporan-laporan ini sama sekali tidak benar, dan untuk mengatakan bahawa laporan berkenaan tidak disediakan untuk masyarakat juga tidak benar,” katanya.

Masyarakat setempat Orang Asal Penan menentang konsesi pembalakan itu kerana ia merangkumi sebahagian dari wilayah tanah adat asal mereka.

Di sinilah mereka memburu, memancing dan mengumpulkan hasil hutan untuk mencari nafkah hidup.

Samling berkata syarikat balak itu memahami perkara tersebut tetapi berharap masyarakat dapat melibatkan mereka secara langsung dan bukan menyuarakan isu-isu melalui NGO.

“Samling memahami dan menghormati masyarakat bergangtung terhadap hasil hutan dan tidak menolak kepentingan hutan untuk penghidupan mereka atau sengaja menyebabkan kerosakan pada hutan yang digunakan oleh masyarakat sebagai sumber makanan.

“Pada masa sama, Samling juga percaya pada pemberdayaan masyarakat setempat sehingga mereka dapat mengetahui sendiri hak mereka dan tanggungjawab Kumpulan Samling, serta terlibat secara langsung dengan kumpulan itu, bukan melalui NGO yang mengaku menjadi jurubicara untuk masyarakat,” katanya.

Anak syarikat Samling, Samling Plywood (Miri) Sdn Bhd diberikan lesen untuk membalak di FMU Gerenai dari 2018 hingga 2027.

Ia meliputi 148,305 hektar dan merangkumi dua hutan simpan yang dilindungi. Hampir separuh (48 peratus) kawasan itu terletak di hutan diiktiraf pensijilan antarabangsa – di Koridor Jantung Borneo.

Syarikat Samling Timber Sdn Bhd pula dibenarkan membalak di FMU Ravenscourt dari 2016 hingga 2026. Kawasan yang akan dibalak ini seluas 117.941 hektar dan merangkumi dua buah hutan simpan yang dilindungi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button