Nasional

Lebih 100,000 penghuni perumahan rakyat bakal jalani saringan percuma Covid-19

Seramai 103,500 orang penduduk di 27 lokasi PPR/PA DBKL dijangka bakal mendapat manfaat daripada program saringan Covid-19 secara bersasar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya  memandang serius akan peningkatan kes-kes aktif COVID-19 di Wilayah Persekutuan (WP) khususnya WP Kuala Lumpur.

Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, katanya, kementerian melalui DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama agensi kerajaan dan pihak swasta akan menjalankan projek rintis Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 (RTK-Ag) di kawasan hot spot berkepadatan tinggi terutamanya Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL dengan mewujudkan pusat ujian saringan komuniti Covid-19 jenis RTK-Ag secara percuma untuk warga Wilayah Persekutuan. Usaha yang dijalankan bertujuan untuk pengesanan awal kes positif Covid-19 sekaligus mengekang penularan wabak ini.

Program saringan Covid-19 RTK-Ag di Wilayah Persekutuan melibatkan dua (2) fasa pelaksanaan, bagi fasa pertama ianya melibatkan 50,000 orang dari 15 PA/PPR DBKL terpilih. Empat lokasi awal adalah PA Seri Sabah 3A, PA Seri Sabah 3B, PA Seri Pulau Pinang dan PA Seri Kota. Pada peringkat awal, saringan ini dikendalikan oleh 1 pasukan di setiap PA/PPR dengan kapasiti 200 hingga 300 orang disaring sehari.

Pelaksanaannya  mengikut SOP yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan dikawal selia oleh PDRM, ATM dan RELA.

Antara agensi lain yang terlibat ialah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, COVID-19 Immunisation Task Force (CITF), Jabatan Penerangan Kuala Lumpur dan pasukan sukarelawan yang turut membantu petugas dalam kelancaran proses saringan.

Keseluruhan, Kementerian menyasarkan pelaksanaan saringan ini ke 27 PPR/PA DBKL menjelang hujung bulan hadapan.

Ia sebagai salah satu usaha pencegahan dan kawalan penularan Covid-19 yang bersasar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Saringan ini juga dibuat secara percuma kepada komuniti Kampung Sungai Penchala selama dua (2) hari kerana mempunyai bilangan warga emas yang agak tinggi.

Pelaksanaan program ini merupakan antara tujuh Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 (IWC) 5.0 untuk kemudahan serta mengurangkan beban warga Wilayah Persekutuan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya B40 dan miskin bandar. Komuniti PPR/PA DBKL boleh mendapatkan perkhidmatan saringan Covid-19 secara percuma, mudah, cepat, selamat, tanpa perlu membayar apa-apa.

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button