Syarikat Safiey Ilias didenda RM23,000 kerana jual, memiliki produk kesihatan tidak berdaftar
SYARIKAT milik usahawan kosmetik Safiey Ilias hari ini ini didenda RM23,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menjual dan memiliki produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap DSI Empire Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikatnya Safiey Alias atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias, 26, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapi.
Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM18,000 bagi kesalahan kedua terhadap syarikat itu yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) dalam kes berkenaan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, OKS didakwa telah menjual keluaran yang bukan keluaran berdaftar iaitu “Aurora SX Premium 30 caps” sebanyak tiga kotak kepada seorang individu dan juga memiliki 112 kotak produk sama yang melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
OKS dituduh melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di premis syarikat itu di Jalan Kolam Air Panas, Desa Melawati di sini pada 11 pagi, 8 Mei 2019.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, OKS didakwa mengikut Peraturan 30(1) peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000.
Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000.
Terdahulu, Safiey dalam rayuannya memohon hukuman ringan memandangkan perniagaannya sudah tidak berjalan sejak setahun lalu selain turut memaklumkan mempunyai masalah kesihatan.
“Saya mohon maaf kepada mahkamah kerana tidak dapat hadir untuk sebutan kes sebelum ini, saya ada masalah kesihatan,” katanya.
Mohamad Aizat turut menasihati Safiey supaya lebih peka dengan produk kesihatan dan kosmetik yang dijual termasuk keperluan pendaftaran dengan KKM.
“Saya berharap kesalahan ini tidak berulang lagi pada masa akan datang, kamu (Safiey) usahawan kosmetik seharusnya peka terhadap segala jenis ubat-ubatan atau kosmetik yang akan diguna pakai oleh masyarakat umum.
“Tujuan pendaftaran ini (produk kesihatan) ialah untuk menjaga keselamatan pengguna, sebagai contoh kalau ada suplemen atau produk kesihatan dimakan dan memberi bahaya, kamu akan dipertanggungjawabkan,” katanya.
Pegawai Pendakwa Ahmad Zuhri Md Ali daripada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran memandangkan Safiey adalah usahawan kosmetik tempatan yang popular.
“Beliau harus memastikan produk kesihatan yang ingin dijual atau diguna didaftar dengan KKM supaya ia selamat digunakan oleh pengguna,” katanya.
Sebelum ini difahamkan Safiey telah dikenakan waran tangkap sebanyak dua kali iaitu pada 15 Mei dan 6 Ogos lalu selepas gagal hadir di mahkamah bagi prosiding kes itu.- BERNAMA