Syamsul Yusof nafi pernah lakukan persetubuhan luar nikah dengan Ira Kazar
Pengarah, Syamsul Yusof, 39, menafikan dakwaan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana bahawa dia melakukan pesetubuhan luar nikah sebelum berkahwin dengan isteri, Ira Kazar.
Syamsul berkata, dia tidak pernah melakukan pesetubuhan luar nikah seperti yang didakwa dan turut mempersoalkan ketelusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
“Saya menafikan apa yang Puteri Sarah dakwa tentang saya dan Ira melakukan persetubuhan luar nikah. Kenyataan-kenyataan dikeluarkan itu tidak benar.
“Saya berkahwin dengan Ira secara sah pada 6 Januari lalu. Itu adalah tarikh kami bernikah. Alhamdulillah, perkahwinan kami pun sudah didaftarkan di sini (Malaysia) pada 20 Januari,” katanya ditemui pada sidang media khas diadakan di Wangsa 118, di sini sebentar tadi.
Syamsul berkata, kes membabitkannya dan Ira juga masih dalam siasatan Jawi di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Di Bawah Seksyen 23; Persetubuhan Luar Nikah.
Dalam pada itu, Syamsul juga mendedahkan isteri keduanya, Ira atau nama sebenar, Faghirah Fatini Kazaruddin bakal mengambil tindakan saman terhadap Jawi juga.
Menurut peguam Ammar Ghalip yang mewakili Ira, pihaknya bakal memfailkan saman susulan pendedahan yang dibuat oleh Jawi kepada pihak umum.
“Berkenaan dengan kenyataan Puteri Sarah mengenai siasatan-siasatan daripada Jawi itu, ia masih belum selesai dan dalam siasatan lagi.
“Isu berkenaan masih disiasat dan terdapat perkara yang boleh dipersoalkan. Jadi, tindakan undang-undang telah pun diambil kepada Jawi. Ira akan saman Jawi. Minggu depan kami akan failkan saman,” katanya.
Terdahulu, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.
.
Dapatkan berita Suara Merdeka dengan pantas terus ke Whatsapp anda.
>> Klik dan sertai Suara Merdeka sebelum tinggalkan halaman ini.