Sweet Qismina positif Covid-19, jalani kuarantin di Ipoh
Pelakon Sweet Qismina telah disahkan positif Covid-19 ketika menjalani penggambaran di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.
Pihak pengurusannya, Warner Music Malaysia berkata, Sweet kini sedang menjalani proses rawatan dan kuarantin di Ipoh, Perak.
“Sweet berada di Kuala Kangsar untuk menjalani penggambaran filem Tariandi pada 15 April dan berasa tidak sihat pada 16 April dan mengambil ubat selama tiga hari berturut-turut tetapi masih belum pulih dan sukar bernafas.
“Sweet membuat ujian calitan di Columbia Hospital, Taiping dan keputusannya adalah positif. Sweet dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan buat saringan PCR dan keputusan positif,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Sweet kemudiannya dihantar ke Pusat Kuarantin di Ipoh untuk dikuarantin serta tiada sebarang komplikasi cuma hilang deria rasa dan bau.
Dalam pada itu, pelakon drama Bidadari Salju ini turut mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan yang membantunya sepanjang proses menerima rawatan tersebut.
“Sweet ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Hospital Kuala Kangsar kerana menjaga Sweet dengan baik sebelum dihantar ke Ipoh. Doakan semoga Sweet cepat sembuh daripada Covid-19 ini.” – SM