Nasional

Swasta wajar tampil idea segar bantu Kementerian Pendidikan – Raja Muda Perlis

Pihak swasta wajar tampil ke hadapan dengan idea-idea segar dan komprehensif untuk memberi cadangan dan bekerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan hasil optimum yang mampu memanfaatkan hampir 400,000 warga pendidik dan 4 juta murid yang mengikuti program TV Pendidikan di negara ini.

“Di samping dapat membantu memantapkan kaedah pendidikan atas talian khususnya dalam mendepani era penularan pandemik Covid-19 yang penuh mencabar pada ketika ini, pihak swasta juga dapat mengambil peluang ini untuk menguji tahap keberkesanan dan memasarkan produk digital masing-masing yang berteraskan bidang pendidikan.

“Stesen television utama juga boleh menawarkan waktu siaran yang tidak sesak (low period) bagi segmen pendidikan di mana pihak berkenaan boleh menunjukkan demonstrasi produk pendidikan mereka sambil membantu pelajar memahami topik-topik yang dibincangkan dengan lebih mudah, pantas dan yang paling mustahak sekali, berkesan”.

“Sebagai contoh, segmen gunung berapi dalam siaran dokumentari dapat menerangkan tentang apa yang hendak disampaikan dengan kaedah yang lebih menarik berbanding pendekatan pengajaran tradisional yang lebih bertumpukan nota dan penerangan sahaja”.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan warkah perutusan pelantikan sebagai Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Pengarah Pendidikan Negeri Perlis yang baharu, Naharudeen Othman di Bilik Tuanku Canselor, Bangunan Canselori Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIPs, Profesor Emeritus Datuk Dr Ir Ts Hj Kamarudin Hussin.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut menyarankan agar bahagian yang dipertanggungjawabkan untuk mengatur program-program TV Pendidikan menggunakan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif supaya sentiasa dapat menarik minat para pelajar segenap peringkat di seluruh pelusuk negara untuk tidak sekali-kali ketinggalan dalam pelajaran.

Sementara itu, Mohd Nazim memaklumkan bahawa Naharudeen telah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis berdasarkan peruntukan Subseksyen 11(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 (Enakmen 4) sebagai ‘Ahli Majlis’ bagi tempoh mulai 20 Julai 2020 hingga 31 Disember 2021 atau sehingga tarikh terakhir beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Perlis dalam memberikan sumbangan idea, pengalaman dan kepakaran dalam memperkasakan lagi MAIPs.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button