Suri rumah mengaku tidak bersalah toreh belakang bekas suami
Seorang suri rumah dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas suaminya apabila bertindak memukul muka dan menoreh belakang badan dengan
sebilah pisau Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Nurhayati Serurahman, 33, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan bekas suaminya, Mohamad Sabri Hussin, 33, berpunca kerana perselisihan faham antara mereka berdua.
Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Kampung Tambak Sembelong, Kandang dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Mei 2021 kira-kira pukul 2.45 pagi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326(A) kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM4,000
atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh yang turut merayu agar jumlah yang ditawarkan itu dapat dikurangkan.
Atas rayuan tersebut mahkamah mengambil keputusan mengenakan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi melepaskan tertuduh.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 25 Oktober bagi sebutan semula kes berkenaan, serahan dokumen dan lantikan peguam bela.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertengkar dengan bekas suami sebelum dia bertindak memukul muka dan menoreh belakang bekas suaminya hingga cedera serta mengancam untuk membunuhnya.
Sementara Nurhayati turut cedera akibat dicekik, dihantuk dengan kepala di muka. Kedua-duanya mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sejurus selepas kejadian tersebut. – SM