Nasional

Isu air: Surat Sultan Selangor kepada MB tidak beri kesan

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan perasaan dukacita terhadap masalah gangguan bekalan air yang terus menyusahkan rakyat negeri Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin telah banyak kali menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berhubung isu bekalan air sejak tahun 2010.

Dalam suratnya, Baginda bertitah agar, masalah air  tidak dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana ia adalah merupakan keperluan asas kehidupan rakyat.

Terbaharu, Baginda telah menulis surat kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengenai isu gangguan bekalan air pada 8 September lalu.

Dalam surat berkenaan, Sultan Sharafuddin telah memberikan syor kepada Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah tersebut.

Bagaimanapun surat yang diberikan Baginda tidak memberi kesan kerana masalah itu terus berlaku.

“Dalam surat tersebut, Baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya ia tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang Baginda kasihi,” kata Muhamad Munir dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Sultan Selangor turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Negeri Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, yang telah mencapai jumlah tertinggi sejak bulan Mac 2020.

Sultan Sharafuddin menyeru rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat menghargai usaha para doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19.

“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana Baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang telah ditetapkan,” kata Muhamad Munir.

Baginda secara spesifik turut menasihatkan rakyat supaya terus berada di rumah serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak.

Rakyat juga diminta sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat-tempat awam.

Sultan Sharafuddin turut bertitah, individu-individu yang pernah pergi ke lokasi yang berisiko atau kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah melaporkan segera kepada pusat kesihatan untuk melakukan saringan.

Mereta tidak sepatutnya menyembunyikan status kesihatan masing-masing.

Tegas Baginda, fokus ketika ini adalah untuk memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan dan seterusnya menghapuskan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button