Superman roda dua ditahan polis
MELAKUKAN aksi meniarap di atas motor (aksi superman), berlumba dan membawa motor secara zig zag.
Itu gelagat yang dilakukan tujuh mat rempit yang dikesan polis dalam Op Samseng di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi diketuai oleh Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod melakukan bermula 12.30 tengah malam hingga 3 pagi.
“Kesemua yang ditahan berusia di antara 19 hingga 27 tahun.
“Semakan turut mendapati tiga daripada mereka yang ditahan tidak mempunyai lesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zulkefly, kesemua yang ditahan juga didapati melakukan kesalahan lain seperti modifikasi enjin, ekzos dan menggunakan tayar motosikal kecil.
Tambahnya, semua yang ditahan bersama motosikal mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM