
Harga RON97 dan Diesel Turun 5 Sen Seliter Bermula Hari Ini
KERAJAAN mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 dan diesel sebanyak 5 sen seliter bagi tempoh 10 hingga 16 April 2025, selaras dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, harga runcit RON97 diturunkan kepada RM3.28 seliter, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia dikurangkan kepada RM2.98 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran minyak global dan menyelaras harga runcit produk petroleum, demi memastikan kestabilan harga serta menjaga kebajikan rakyat,” kata kementerian itu.
Penetapan harga mingguan ini dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan oleh kerajaan.
Berikut adalah harga runcit produk petroleum bagi tempoh 10 hingga 16 April 2025:
-
RON97: RM3.28 seliter (turun 5 sen)
-
RON95: Kekal pada RM2.05 seliter
-
Diesel (Semenanjung): RM2.98 seliter (turun 5 sen)
-
Diesel (Sabah, Sarawak & Labuan): Kekal pada RM2.15 seliter
Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan langkah-langkah yang bersesuaian demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.