Sukan

Super KIP tetap bersemangat beraksi di GP Sepanyol

PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi tetap bersemangat untuk beraksi di Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) walaupun terpaksa menunda perjalanannya ke Sepanyol.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan Super KIP itu mengakui teruja untuk beraksi di Litar Jerez, Sepanyol dan berharap keputusan mengenai status pelepasan mereka ke negara itu dapat diketahui secepat mungkin.

GAMBAR GOOGLE/FACEBOOK/KHAIRUL IDHAM PAWI ATAU SUPER KIP

“Daripada pihak MotoGP, Dorna Sports (pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP) dan kerajaan Malaysia semua sudahpun lulus. Hanya satu pihak iaitu kerajaan Sepanyol yang tidak beri kebenaran.

“Saya dan juga pelumba Malaysia lain terpaksa tunggu surat kebenaran daripada Kesatuan Eropah (EU) untuk membenarkan kami masuk ke Sepanyol.

“Saya sendiri tidak pasti bilakah akan berlepas, mungkin hari Isnin atau Selasa depan. Saya berharap dapat terima keputusan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan semalam.


Pelumba berusia 21 tahun itu dijadual berlepas ke Sepanyol pada pagi kelmarin namun terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ini ekoran daripada peraturan baharu Kesatuan Eropah yang hanya membenarkan warga 15 negara memasuki negara kesatuan itu yang mana Malaysia tidak tersenarai.

Selain Khairul Idham, wakil Malaysia yang dijadualkan menyertai saingan GP Sepanyol ialah Hafizh Syahrin Abdullah dari Aspar Team dan Kasma Daniel Kasmayudin dari ONEXOX TKKR SAG Team. Mereka berdua akan bersaing dalam kategori Moto2.

GP Sepanyol yang diadakan di Litar Jerez dijadualkan berlangsung dari 17 Julai hingga 19 Julai ini, menyaksikan pusingan kedua musim 2020 selepas saingan pembukaan di GP Qatar pada Mac lepas.

Bagaimanapun, selepas perlumbaan di Qatar, Kejuaraan MotoGP musim ini ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19. – SM

(Visited 63 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button