Suntikan vaksin Covid-19: Guru bukan golongan terdesak – Dr. Dzulkefly Ahmad
TIADA keperluan mendesak untuk golongan guru diberikan keutamaan suntikan vaksin Covid-19 yang diterima negara tahun depan, adalah bekalan terhad, kata bekas Menteri Kesihatan, DAtuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, tidak semestinya cadangan yang dilontarkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) baru-baru ini yang mengutamakan pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan guru, sama situasinya dalam negara kita.
Sekiranya tiada keperluan mendesak untuk golongan guru diberikan keutamaan sekiranya bekalan vaksin terhad, maka golongan guru tidak perlu menjadi golongan prioritas, tegas beliau.
Dr. Dzulkefly berkata, SOP sektor pendidikan banyak membantu membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru-guru perlu memastikan pelajar mematuhinya.
Pakai pelitup muka menggurangkan sebaran virus sebanyak 65%, penjarakan fizikal mengurangkan risiko penularan sebanyak 90%, ujarnya.
“Guru-guru juga harus memastikan budaya ini hidup di bilik darjah dan sekolah mereka. Langkah ini mungkin mencukupi untuk mencegah penularan di sekolah,” katanya.
Tambahnya lagi, kebanyakan guru yang berusia muda, sihat dan tiada sejarah penyakit kronik, mereka ini tergolong dalam individu berisiko rendah.
Oleh itu, Dr. Dzulkefly berkata, kerajaan perlu mengutamakan vaksin kepada petugas barisan hadapan (front liners) dan golongan berisiko iaitu individu berusia 65 tahun ke atas khususnya yang mempunyai penyakit serta penghuni di pusat-pusat jagaan orang tua.
Ditanya mengenai risiko golongan kanak-kanak dijangkiti dan menyebarkan Covid-19, Dr. Dzulkefly berkata, agensi awam UK, Public Health England berpandangan bahawa 2/3 transmisi virus berlaku antara guru atau antara guru dan murid, bukan antara murid.
“Saya cadangkan keutamaan ujian atas permintaan atau ‘on-demand testing’ diberikan kepada guru-guru, di pusat asuhan dan kakitangan yang merasakan mereka terdedah kepada infeksi.
“Cara paling baik untuk mengelak transmisi di sekolah adalah dengan tidak mengizinkan virus masuk ke sekolah,” kata Dr. Dzulkefly. – SM