Sultan Selangor perkenan nama Jalan Prof. Diraja Ungku Aziz
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan untuk menamakan semula Jalan Universiti di Petaling Jaya, Selangor dengan nama Jalan Prof. Diraja Ungku Aziz.
Baginda berkenan untuk mengabadikan nama tokoh tersohor tanahair itu pada jalan berkenaan sebagai mengenang jasa dan bakti Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid semasa hayatnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi Melayu.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin telah berkenan menerima menghadap anak Allahyarham, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz bagi menyampaikan hasrat Baginda sekaligus memutuskan pertukaran nama jalan berkenaan.
“Pemilihan Jalan Universiti untuk dinamakan semula kepada Jalan Prof. Diraja Ungku Aziz adalah bertepatan kerana ia adalah jalan pintu masuk utama ke pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti MAHSA,” katanya dalam satu kenyataan.
Allahyarham Ungku Abdul Aziz pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya di Singapura dari tahun 1952-1961, sebelum dilantik ke jawatan profesor dan seterusnya Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya di Kuala Lumpur dari tahun 1962-1965.
Jalan Universiti sepanjang 3.2 kilometer adalah jalan utama yang menghubungkan Petaling Jaya ke Kuala Lumpur. Ia dibina pada tahun 1960 dan merupakan jalan dua hala pertama di Malaysia.
Jalan itu menghubungkan ke jalan-jalan utama lain seperti Lebuhraya Persekutuan, Jalan Prof. Khoo Kay Kim, Jalan Dato’ Abu Bakar 16/1 dan Jalan Harapan.
Allahyarham Ungku Abdul Aziz meninggal dunia pada 15 Disember lalu.-SM