Sultan Selangor perkenan ampunkan Sanusi
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menerusi surat titah yang dimuat naik di Selangor Royal Office, baginda menerima permohonan itu atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, semoga Datuk Seri berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Datuk Seri berkenaan kenyataan Datuk Seri pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah beta pertimbangkan.
“Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Datuk Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
“Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya,” titah baginda.
Baginda turut menasihati Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi serta menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali apabila berada di Selangor.