Nasionalpilihan

Sultan Selangor kesal masih ada pemimpin politik tidak jujur

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap laporan-laporan berkaitan rasuah membabitkan semua pihak bagi membersihkan negeri ini daripada amalan rasuah.

Baginda juga berharap agar pelaku rasuah dihadapkan ke mahkamah dan jika disabit kesalahan, perlu dihukum dengan hukuman berat sebagai mesej penolakan rakyat terhadap gejala rasuah.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa kesal kerana masih ada penjawat awam dan pemimpin politik tidak jujur dalam melaksanakan amanah walaupun telah banyak kali diberi peringatan.

Titah Sultan Selangor, baginda juga ada menerima laporan mengenai siasatan SPRM terhadap pemimpin politik berkaitan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Beta mengingatkan sekali lagi bahawa beta tidak mahu mendengar sebarang laporan tentang penglibatan mana-mana pegawai kerajaan dan pemimpin politik negeri beta di dalam amalan rasuah ini.

“Perasuah tiada tempat dalam masyarakat dan perlu kita perangai habis-habisan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14, di sini hari ini.

Titah baginda, impian Selangor untuk menjadi negeri maju akan sukar dicapai andai ada pemimpin politik dan pegawai kerajaan berterusan mementingkan kuasa dan kedudukan serta menjadikan amalan rasuah sebagai budaya hidup dengan mengetepikan kepentingan rakyat dan tidak berusaha memajukan semula ekonomi negeri yang teruk terjejas akibat COVID-19.

“Beta bimbang, pada usia beta 75 tahun ini, beta tidak sempat untuk melihat Selangor menjadi sebuah negeri yang maju dan pesat membangun dengan segala kemudahan yang menjamin keselesaan rakyat seperti kita semua idamkan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan dan komitmen semua petugas barisan hadapan khususnya doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang bertungkus-lumus bekerja bagi memberi rawatan kepada pesakit COVID-19.

“Beta sangat menghargai semangat mereka yang tidak pernah luntur dalam melaksanakan tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat beta,” titah baginda. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button