Nasional

Kerajaan lebih tegas tangani kebocoran subsidi mulai tahun depan

KERAJAAN akan bertindak lebih tegas daripada segi penguatkuasaan bagi menangani sindiket penyeludupan barang bersubsidi mulai tahun hadapan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, ini termasuk memperketat hukuman terhadap pesalah termasuk dengan menuntut semula nilai ganti rugi daripada penyelewengan dilakukan.

“Antara tumpuan penguatkuasaan kita tahun hadapan ialah hukuman lebih tegas dan keras. Mereka yang terbabit dalam penyelewengan akan digantung lesen dan kami akan batalkan lesen (mereka).

“Kita akan ambil tindakan untuk mendapatkan balik (nilai) kerugian terbabit daripada pihak menyeleweng,” katanya dipetik laporan media.

Rampasan petrol RON95 merekodkan angka tertinggi dengan 933 kes diikuti diesel sebanyak 734 kes, minyak masak (472 kes), gula (241 kes), LPG (197 kes) dan tepung gandum (99 kes).

Sejumlah 616 tangkapan dilakukan dalam tempoh sama membabitkan 490 rakyat tempatan, dua penduduk tetap dan 124 warga asing.
Sementara itu menurut Azman, usaha membendung sindiket penyeludupan bertujuan menyelamatkan wang negara daripada ketirisan supaya peruntukan itu boleh diperuntukkan kepada program lain yang memanfaatkan rakyat.

“Ops Tiris bukan sahaja diteruskan tetapi ditambah baik untuk memastikan apa yang dihasratkan kerajaan dapat dilaksanakan.

“Kita bukan menghalang subsidi dan kita tidak pernah menghentikan subsidi, tetapi subsidi ini disasarkan kepada golongan yang betul-betul layak dan memerlukan ,” katanya.
Tambahnya, perkara itu antara cadangan dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi penambahbaikan Ops Tiris yang diadakan baru-baru ini.
Ops Tiris 3.0 yang dilancarkan di seluruh negara pada 1 Januari lalu, merekodkan nilai rampasan pelbagai barangan terkawal dan bersubsidi bernilai RM90.8 juta setakat Isnin lalu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button