Sultan Brunei akan mengadakan lawatan dua hari ke Malaysia mulai hari ini
SULTAN Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia mulai hari ini hingga esok.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini, Lawatan Negara itu juga bertepatan dengan Perundingan Tahunan (ALC) Malaysia-Brunei Darussalam ke-24 yang akan dihadiri oleh Sultan Brunei dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lawatan Sultan Brunei akan mengukuhkan lagi hubungan terjalin lama dan kerjasama pelbagai rupa antara kedua-dua negara dan rakan kongsi di ASEAN, tambah kenyataan itu.
Tahun lepas, Negara Brunei Darussalam merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan ke-6 terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM13.22 bilion (AS$2.98 bilion), meningkat 68.4 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021.
“Sebagai mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei Darussalam, ALC akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan isu-isu tertunggak serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
“Kedua-dua pemimpin juga dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala,” kata kenyataan itu. -SM
Baca : KJ puji dasar Ekonomi Madani diumum PM