fbpx
Sukan

Bola jaring cemerlang, jinakkan Singapura

SKUAD bola jaring negara tampil cemerlang mengekalkan rekod tanpa kalah, dalam perlawanan pusingan awal, selepas menjinakkan musuh tradisi Singapura 54-49, dalam saingan Sukan SEA ke-30 semalam.

Dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, Manila, skuad negara bagaimanapun tidak memperoleh laluan mudah, apabila diberi tentangan sengit sehingga ke wisel penamat.

Pada awal suku pertama, skuad negara terpaksa bergelut menghadapi serangan lawan, sehingga ketinggalan 0-4 sebelum bangkit mendahului 15-12.

Saingan sengit terus disaksikan pada suku kedua, walaupun tidak banyak jurang yang berjaya dicipta, pasukan negara bagaimanapun kekal di hadapan 28-24.

Aksi berbeza dilihat pada suku ketiga yang menyaksikan permainan ditampilkan Singapura lebih kemas sehingga berjaya merapatkan jurang 38-40.


Namun dengan kelebihan ketinggian dimiliki dua pemain tonggak di bahagian hadapan, Norashikin Kamal Zaman dan An Najwa Azizan, pasukan negara kembali mendominasi permainan, sekali gus melakar kemenangan bergaya.

Malaysia kini menghuni tangga teratas dan berdasarkan format perlawanan round robin, skuad negara akan berdepan pasukan di tangga keempat, Brunei pada separuh akhir, yang akan berlangsung 1 Dis.

Sementara Singapura yang berada di tempat kedua bakal bertemu Thailand, yang menamatkan aksi di tempat ketiga.

Sementara itu, ketua pasukan negara, Nur Syafazliyana Mohd Ali mengingatkan rakan sepasukan tidak memandang rendah keupayaan Brunei, biarpun telah menewaskan lawan itu 69-23 pada perlawanan sebelumnya.

“Kami tak nak leka dengan bayangan pingat emas. Separuh akhir nanti jumpa dengan lawan mana sekali pun, kami akan lalui satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami juga akan meningkatkan lagi permainan kami dari hari ke hari,” katanya.

Nada sama dikongsi jurulatih negara, Tracey Robinson yang mengingatkan para pemainnya tidak mengambil mudah saingan bakal ditampilkan Brunei.

“Untuk kami setiap perlawanan adalah penting dan anda sekarang sedang merancangn kepada permainan terbaik kami di final. Jadi kita harapkan yang terbaik dan kita akan lakukan yang terbaik menentang Brunei dan layak ke final,” katanya. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button