Bola SepakSukan

Keputusan memalukan, namun peluang masih ada – Kim Swee

JURULATIH pasukan bola sepak negara bawah 22 tahun, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kekalahan 0-1 kepada tuan rumah, Filipina pada Sukan SEA ke-30 di Stadium Memorial Rizal malam ini sebagai “keputusan yang memalukan.”

Pasukan negara yang masih belum memenangi walau satu perlawanan sekalipun selepas mengikat 1-1 dengan Myanmar dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Isnin lepas, tewas kepada tuan rumah melalui gol Amani Manuel Aguinaldo pada minit ke-72.

Ini meletakkan pasukan muda negara berada dalam tekanan kerana hanya dua pasukan teratas yang akan mara ke separuh akhir, namun Kim Swee percaya anak buahnya masih boleh membuat sesuatu untuk meningkatkan prestasi dan menghidupkan harapan untuk terus mara.

“Pastinya bukan keputusan yang baik untuk kita hari ini… pasukan tuan rumah nampak lebih bersemangat dari kita. Kita seharusnya malu dengan keputusan hari ini, tetapi secara matematik kita masih ada peluang untuk mara ke peringkat berikutnya,” katanya dalam persidangan media selepas perlawanan.

“Jelas kelihatan kita tidak bermain dengan baik, tetapi pada babak kedua aksi pemain agak baik sebelum mereka melakukan kesilapan menerusi sepakan sudut. Bermula dari situ kita buat perubahan, namun Filipina memang seharusnya menang, mereka menunjukkan permainan yang sangat baik, lebih bersemangat daripada pasukan kita, dan di hujung permainan, kita tidak menggunakan peluang sepenuhnya untuk menjaringkan gol,” katanya.

“Keputusan sudah muktamad, tidak dapat diuubah lagi, kita ada banyak lagi perlawanan untuk dihadapi, kita perlu bangkit dengan lebih bertenaga. Ini keputusan yang memalukan bagi kita, tetapi para pemain masih boleh menebus kekalahan… ia akan menunjukkan karekter dan sikap pemain, jadi kita akan lihat dalam dua perlawanan berikutnya apa yang akan berlaku,” katanya.

Keputusan malam ini meletakkan Malaysia di tempat keempat dengan satu mata, manakala Myanmar mendahului kumpulan dengan tujuh mata, diikuti oleh Filipina dan Kemboja dengan masing-masing memperoleh empat mata.

Sementara itu jurulatih pasukan Filipina, Goran Milojevic berkata pasukannya memang seharusnya menang perlawanan malam ini selepas kalah kepada Myanmar 1-2, dan seri 1-1 dengan Kemboja dalam perlawanan sebelum ini.

“Kami sepatutnya sudah mengumpul banyak mata sebelum perlawanan ini, tetapi keadaan memaksa kami untuk bermain lebih banyak menyerang. Kami terkejut dengan persembahan Malaysia … kami mengikuti mereka dengan teliti, perlawanan sebelum ini menyaksikan mereka membuat formasi 4-3-3, tetapi hari ini mereka bermain dengan formasi 3-5-2.

“Jadi sekiranya kami bermain dengan formasi 4-4-1-1 walaupun ia sangat berbahaya kerana terlalu nampak menyerang, tetapi pemain menerima idea itu. Kami mengawal perlawanan dari minit pertama, semua kredit seharusnya diberikan kepada pemain, terima kasih kepada mereka,” kata warga Serbia itu pada sidang media berkenaan.

Dalam perlawanan berikutnya Malaysia akan berhadapan dengan Timor Leste pada hari Isnin, disusuli dengan Kemboja dua hari kemudian, dan sekiranya kalah dalam mana-mana satu perlawanan, para pemain sudah boleh berkemas untuk pulang dengan tangan kosong. – BERNAMA

(Visited 60 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button