Sukan Komanwel: Malaysia tidak ketandusan atlet muda
Selepas 11 hari bertarung akhirnya temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 ditutup secara rasmi dalam majlis penuh gilang gemilang di Stadium Alexander, Perry Barr semalam sambil temasya yang sama akan berlangsung di Victoria pada Mac 2026.
Temasya yang penuh suka dan duka khususnya buat kontinjen Malaysia harus disanjung apabila meraih tujuh emas serta masing-masing lapan perak dan gangsa menamatkan cabaran di tangga kesepuluh secara keseluruhan daripada 72 negara yang mengambil bahagian sejak 28 Julai lalu.
Apa pun sekalung tahniah buat kontinjen negara berada dalam kelompok 10 negara terbaik yang diungguli oleh Australia muncul juara keseluruhan dengan meraih 67 pingat emas, 57 perak dan 58 gangsa.
Pencapaian kontinjen negara itu menyamai rekod tujuh emas yang dicatatkan pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.
Barisan atlet negara yang membawa cabaran di Birmingham mendapat pujian seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti temasya yang menghimpunkan 5,000 atlet sepanjang 11 hari berlangsung.
Tidak terkecuali Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah apabila merangkul pingat emas ketujuh negara beberapa jam sebelum temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham melabuhkan tirainya semalam.
Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Ucapan tahniah Seri Paduka berdua dikongsi menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.
Kejayaan Tan-Thinaah atas kemenangan menghadiahkan pingat emas pada hari terakhir temasya itu selepas mudah mengetepikan beregu tuan rumah, Chloe Birch-Lauren, Smith 21-5, 21-8 dalam perlawanan akhir di Pusat Pameran Nasional (NEC).
Keseluruhannya ada beberapa sukan yang diramal menyumbang pingat emas tetapi sebaliknya terjadi. Apa pun itu sudah menjadi asam garam dalam mana-mana temasya sukan berlangsung.
Apa yang harus dilihat ialah pencapaian lapan daripada 28 atlet muda bawah 21 tahun cemerlang untuk menyumbangkan pingat buat kontinjen negara.
Itu menunjukkan bahawa Malaysia tidak ketandusan atlet muda untuk diketengahkan ke peringkat antabangsa serta mampu bersaing dengan jaguh-jaguh dunia khususnya dalam acara-acara tertentu.
Gimnas muda berusia 16 tahun, Ng Joe Ee mencuri perhatian selepas meraih dua emas bagi acara bola dan riben satu kejayaan yang membanggakan muncul atlet individu menyumbang dua pingat.
Begitu juga pencapaian atlet angkat berat, Mohd. Aznil Bidin apabila merangkul emas acara 61 kilogram (kg) lelaki. Paling manis dia mencipta tiga rekod baharu Sukan Komanwel dalam snatch (127kg) dan clean and jerk (158kg) dengan angkatan keseluruhan 285kg.
Turut mengkagumkan ialah jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin apabila mencatat rekod baharu temasya dengan angkatan 220kg membuktikan dia berada pada kelas tersendiri.
Pujian buat skuad badminton meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa walaupun ketiadaan jaguh perseorangan, Lee Zii Jia. Namun kemunculan penggantinya Ng Tze Yong disenaraikan di saat akhir cukup membanggakan.
Walaupun pemain berusia 22 tahun itu menyumbang perak selepas tunduk 21-19, 9-21, 16-21 kepada pemain India, Lakshya Sen dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki corak persembahan mantapnya diibaratkan seperti bekas pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei.
Kehebatan atlet kelahiran Johor itu apabila mengejutkan juara dunia Loh Kean Yew dari Singapura, 15-21, 21-14, 21-11 di suku akhir serta menumbangkan pemain ranking ke-13 dunia dari India, Srikanth Kidambi 13-21, 21-19, 21-10 pada separuh akhir. – SM
Pemenang pingat Malaysia
EMAS
1. Anis Kasdan (Angkat Berat Lelaki Kategori 55kg)
2. Aznil Bidin (Angkat Berat Lelaki Kategori 61kg)
3. Badminton Berpasukan Campuran
4. Bonnie Bunyau Gustin (Para Powerlifting)
5. Ng Joe Ee (Gimrama Wanita: Bola)
6. Ng Joe Ee (Gimrama Wanita: Riben)
7. Pearly Tan/M.Thinaah (Badminton Beregu Wanita)
PERAK
1. Erry Hidayat (Angkat Berat Lelaki Kategori 73kg)
2. Ping Pong Berpasukan Wanita
3. Gabriel Gilbert/Syafiq Puteh (Terjun 3m Papan Anjal Seirama Lelaki)
4. Nur Ain Nabilah/Syafiqa Haidar/Azlina Arshad (Boling Padang Triples Wanita)
5. Nur Dhabitah/Ng Yan Yee (Terjun 3m Papan Anjal Seirama Wanita)
6. Nur Dhabitah (Terjun 3m Papan Anjal Individu Wanita)
7. Javen Choong/Karen Lyne (Ping Pong Kategori Campuran)
8. Ng Tze Yong (Badminton Perseorangan Lelaki)
GANGSA
1. Shah Firdaus Sahrom (Basikal Trek Keirin Lelaki)
2. Siti Zalina Ahmad (Boling Padang Individu Wanita)
3. Amir Daniel Abdul Majeed (Judo Kategori Lelaki 73kg)
4. Izzah Amzan (Gimrama Wanita: Belantan)
5. Tan Kian Meng/Lai Pei Jing (Badminton Beregu Campuran)
6. Aaron Chia/Soh Wooi Yik (Badminton Beregu Lelaki)
7. Rachel Arnold/Aifa Azman (Skuasy Beregu Wanita)
8. Nur Dhabitah/Syafiq Puteh (Terjun 3m Papan Anjal Berirama Campuran)