‘Sugarbook’ pelaris maksiat, runtuhkan moral dan akhlak
SAYA berharap pihak berkuasa akan melakukan tindakan yang proaktif dalam menangani iklan seperti ini. Ya mungkin mereka akan menafikan ini bukan pelacuran tetapi seperti ‘match making’.
Apabila syarat menjadi Sugar Daddy mestilah ‘fully loaded’ maksudnya kewangan yang stabil untuk membiayai Sugar Baby yang mahukan kehidupan mewah dan kedua-dua individu boleh dipertemukan dan bersama andai bersetuju kepada terma dan syarat secara bersama.
Maka apakah beza dengan pelacuran di mana pelanggan bersetuju membayar sekian jumlah untuk mendapatkan pulangan seksual manakala pelacur mendapat pulangan wang atas khidmat seks yang ditawarkan?
Di sinilah kita akan nampak betapa hipokritnya golongan pejuang Hak Asasi Manusia (HAM) dan geng Liberal yang senantiasa mencari ruang menyerang Islam tetapi menjadi syaitan bisu apabila isu sebegini timbul dalam masyarakat.
Wahai ibu bapa yang bukan Muslim, sanggup anak anda menjadi Sugar Baby yang dibiayai mungkin seorang jantan yang kaya? Wahai wanita bukan Muslim, di manakah suara anda kerana barangkali suami anda itu adalah Sugar Daddy yang membiayai seorang atau beberapa Sugar Baby tanpa pengetahuan anda?
Ini bukan isu agama Islam atau Muslim tetapi isu keruntuhan moral dan akhlak! Istilah Bahasa Inggeris yang bombastik digunakan bagi melariskan maksiat?
FIRDAUS WONG WAI HUNG
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 18/12/2019