AgamaNasional

Subsidi haji perlu diberi secara bersasar khususnya B40

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) menyarankan kerajaan memberikan subsidi kepada jemaah haji pada tahun ini secara bersasar.

Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berkata, subsidi itu hanya patut diberikan kepada jemaah haji yang datang dari golongan berpendapatan rendah (B40) dan kepada mereka yang memerlukan sahaja.

Katanya, lebih baik bagi golongan pendapatan Tertinggi 20 (T20) atau sederhana (M40) yang mampu melaksanakan ibadah haji tanpa sebarang bantuan kerajaan untuk menggunakan wang mereka sendiri tanpa mendapat apa-apa subsidi.

“Mengambil kira peningkatan kos, kenaikan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi, kos bagi seorang jemaah muassasah dijangka akan meningkat sehingga RM25,000.

“Jika bayaran untuk melaksanakan ibadah haji dikekalkan pada nilai RM9,980.00 bagi seorang jemaah, ini bermakna jumlah subsidi yang diberikan akan mencecah RM15,020 untuk setiap seorang, yang mana ini adalah jumlah yang amat besar,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Zakaria menambah kaedah subsidi bersasar itu dapat mengurangkan impak ditanggung oleh pihak kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pada Jumaat lalu, kerajaan memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan haji diteruskan tahun ini, namun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, beliau akan berbincang dengan TH mengenai kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah susulan jangkaan peningkatan kos tahun ini kepada lebih RM25,000 ekoran kenaikan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh Arab Saudi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button