BAHAN api merupakan ejen penting dalam industri elektrik di seluruh dunia. Lonjakan harga bahan api ketika ini menyebabkan dunia menghadapi krisis tenaga api. Pelbagai langkah telah dilakukan oleh pihak Kementerian bagi melindungi kebajikan rakyat yang menghadapi kesukaran pada waktu ini.
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan berkata, kerajaan telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat, antaranya adalah, pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme Pelepasan Kos – Kos Tidak Seimbang (ICPT) disemak setiap enam bulan sekali dengan mengambil kira kos bahan api dan penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang.
“kos ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 adalah sebanyak RM7 bilion bersamaan kadar surcaj 11.81 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Julai hingga Disember 2022”
“Kerajaan telah bersetuju untuk menampung subsidi elektrik berjumlah RM5.8 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022 meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api di pasaran global.
“Pengguna-pengguna domestik kekal menerima rebat 2 sen/kWj dan pengguna-pengguna bukan domestik kekal dikenakan surcaj 3.70 sen/kWj berbanding kadar surcaj ICPT sebenar iaitu 11.81 sen/kWj,” tambahnya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Kementerian juga telah merancang beberapa pelan mitigasi jangka panjang, antaranya ialah, mengutamakan bahan api yang paling murah untuk penjanaan elektrik dan seterusnya akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran ICPT yang akan datang.
Takiyyuddin berkata, Pelan Pembangunan Penjanaan jangka masa panjang juga telah disediakan bagi perancangan pembekalan elektrik negara. Antaranya adalah dengan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import seperti arang batu secara berperingkat serta meningkatkan campuran tenaga pada tahun 2035 sebagaimana sasaran yang ditetapkan di bawah Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER).
Seterusnya, Kementerian juga akan terus melaksanakan pelan komunikasi yang komprehensif dan mudah difahami oleh rakyat. Jumlah subsidi bil elektrik yang ditampung oleh Kerajaan akan dipaparkan dalam bil elektrik bulanan setiap pengguna.
Kementerian akan terus bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menyedarkan pengguna tentang penjimatan penggunaan elektrik sebagai langkah memupuk penggunaan tenaga elektrik yang cekap di kalangan pengguna. -SM