Rencah Hidup

Subky Latif meninggal dunia

Bekas veteran PAS dan wartawan, Subky Abdul Latif dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

“Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat, orang-orang soleh. Amin,” kata anak Allahyarham dalam satu hantaran hari ini.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham yang berjasa dalam perjuangan parti itu.

“Kami dikejutkan dengan berita sedih pagi ini atas pemergian Haji Subky Abdul Latif, Pengerusi As-Sabiqun PAS Pusat, ke rahmatullah. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga sabar dan tabah menghadapi ujian ini.

“Jasa dan pengorbanan Haji Subky untuk perjuangan PAS amat besar dan sentiasa dikenang oleh para pendukung PAS.

“Marilah kita sama-sama mendoakan almarhum dicucuri rahmat Allah, diterima amal ibadat dan jihadnya, diampunkan dosa-dosanya serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” kata Abdul Hadi.

Turut mengucapkan takziah Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah.

“Menerima berita sedih jam 11:05 pagi sebentar tadi, pemergian Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS, seorang penulis yang banyak berjasa kepada dunia dakwah dan perjuangan Islam di Malaysia.

“Perginya hari yang sama dengan Almarhum Ustaz Dato’ Haji Fadzil bin Mohd Noor (23 Jun 2002) dan Almarhum Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik (23 Jun 2014).

“Salam takziah buat Hajah Naznah binti Taha dan anak-anak, Dang Fatiha, Hang Muhammad Iftitah, Abdul Latif Rahbar, Muhammad Ramadhan Subky dan Ahmad Huzaifah serta seluruh ahli keluarga,” kata Mohd. Amar.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button